Tunku Abdul Rahman raih naib juara GT World Challenge Asia 2025

Dua jentera pasukan Johor Motorsports Racing (JMR) iaitu Chevrolet Corvette Z06 GT3.R meraih keputusan podium berganda di litar baharu Beijing Street. - Gambar/ JMR
KUALA LUMPUR: Tunku Panglima Johor Tunku Abdul Rahman Sultan Ibrahim menamatkan kempen musim perlumbaan GT World Challenge Asia 2025 dengan cemerlang apabila muncul naib juara keseluruhan bagi kategori Pro-Am pada pusingan akhir di Beijing, China semalam.
Ringkasan AI
- Tunku Panglima Johor Tunku Abdul Rahman Sultan Ibrahim menamatkan kempen GT World Challenge Asia 2025 dengan cemerlang apabila muncul naib juara keseluruhan kategori Pro-Am pada pusingan akhir di Beijing, China.
- Dua jentera pasukan Johor Motorsports Racing (JMR) iaitu Chevrolet Corvette Z06 GT3.R meraih keputusan podium berganda di litar baharu Beijing Street, dengan Tunku Abdul Rahman dan Ben Green menamatkan perlumbaan akhir di tempat kedua.
- Keputusan itu mengesahkan kedudukan Tunku Abdul Rahman sebagai naib juara kategori Pro-Am dan ketiga keseluruhan GT World Challenge Asia, manakala Tunku Abu Bakar Sultan Ibrahim dan Alexander Sims menamatkan perlumbaan di tempat kelima.
Perlumbaan akhir berakhir di bawah kawalan kereta keselamatan dengan Green dan Tunku Abdul Rahman menamatkan saingan di tempat kedua untuk mengesahkan kedudukan naib juara kategori Pro-Am dan ketiga keseluruhan GT World Challenge manakala Sims dan Tunku Abu Bakar menamatkan perlumbaan di tempat kelima.
"Perasaan saya bercampur baur ketika ini. Saya memang ingin menang, kami mempunyai peluang dan begitu hampir, tetapi tidak dapat berbuat apa-apa kerana sebahagian besar perlumbaan berada di bawah kawalan kereta keselamatan. Namun begitu, saya amat bersyukur dengan pasukan.
"Ini merupakan tahun pertama kami dengan Corvette dan pasukan melakukan tugas yang cemerlang. Satu penghormatan dapat bekerjasama dengan mereka. Hari ini bukan hari kami, tetapi kami telah menunjukkan kemampuan sebenar dan itu patut dibanggakan," kata Tunku Abdul Rahman dalam kenyataan itu.
Sementara itu, Tunku Abu Bakar berkata: "2025 merupakan musim yang mencabar untuk saya tetapi saya gembira dapat menamatkan perlumbaan dengan baik dengan beberapa podium pada perlumbaan terakhir. Masih banyak perlu diperbaiki dan saya menantikan musim akan datang." katanya.
Dengan berakhirnya musim GT World Challenge Asia, tumpuan JMR kini pada perlumbaan siri Asian Le Mans yang akan bermula di Litar Antarabangsa Sepang dari 13 hingga 14 Dis.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami