RIYADH: Sebanyak 12 negara anggota Liga Arab dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) menggesa Iran menghentikan segera siri serangan membabitkan peluru berpandu balistik serta dron yang menyasarkan infrastruktur awam dan kedaulatan negara jiran.
Ketetapan itu dicapai menerusi satu kenyataan bersama menteri-menteri luar dari Qatar, Azerbaijan, Bahrain, Mesir, Jordan, Kuwait, Lubnan, Pakistan, Arab Saudi, Syria, Turkiye dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) susulan mesyuarat perundingan yang berlangsung, di sini, semalam.
Advertisement
Kumpulan negara berkenaan mengutuk sekeras-kerasnya tindakan Tehran yang didakwa sengaja menyasarkan kawasan perumahan, kemudahan minyak, loji penyahgaraman air serta premis diplomatik yang tidak boleh dibenarkan atas sebarang alasan.
“Masa depan hubungan dengan Iran bergantung kepada penghormatan terhadap kedaulatan sesebuah negara serta prinsip tidak campur tangan dalam urusan dalaman, selain tidak menggunakan keupayaan ketenteraan untuk mengancam kestabilan serantau,” menurut kenyataan bersama itu, hari ini.
Joint Statement Issued by the Consultative Ministerial Meeting of the Foreign Ministers of a Group of Arab and Islamic Countries Regarding the Iranian Attacks
Riyadh | 19 March 2026
Their Highnesses and Excellencies the Ministers of Foreign Affairs of the State of Qatar, The… pic.twitter.com/Eik3eqtdlA— Ministry of Foreign Affairs - Qatar (@MofaQatar_EN) March 19, 2026
Kenyataan itu menyebut bahawa Iran perlu mematuhi Resolusi Majlis Keselamatan 2817 (2026) yang menuntut penghentian segera segala tindakan provokasi dan ancaman terhadap negara jiran serta pembiayaan kumpulan pejuang di negara Arab.
Kumpulan menteri luar berkenaan turut menuntut Iran agar tidak mengambil sebarang langkah atau ancaman untuk menutup laluan pelayaran antarabangsa di Selat Hormuz serta menjamin keselamatan maritim di Bab al-Mandab.
Selain itu, kenyataan tersebut turut menzahirkan sokongan padu terhadap kedaulatan dan kestabilan Lubnan, sambil mengutuk sekeras-kerasnya pencerobohan serta dasar peluasan kuasa oleh Israel di negara berkenaan.
Kenyataan ini hadir ketika ketegangan di Asia Barat mencapai tahap kritikal susulan peperangan antara Amerika Syarikat (AS)-Israel terhadap Iran yang bermula pada akhir Feb lalu.
Negara-negara terbabit menegaskan hak untuk mempertahankan diri mengikut Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan akan terus menyelaraskan langkah-langkah perlu bagi melindungi keselamatan serta kedaulatan wilayah masing-masing daripada ancaman berterusan.