Skip to main content

Dunia

Konflik Asia Barat: Amerika tuduh Iran jadikan Selat Hormuz medan ‘lanun’, dakwa Tehran tiada hak kawal selat antarabangsa

U.S. Secretary of State Marco Rubio points as members of the media raise their hands during a press briefing in the James S. Brady Press Briefing Room at the White House in Washington, D.C., U.S., May 5, 2026. REUTERS/Kylie Cooper
Marco Rubio menunjuk ke arah petugas media ketika mereka mengangkat tangan semasa satu taklimat media di Bilik Taklimat Akhbar James S. Brady di White House, Washington, pada Selasa. - Gambar Reuters

WASHINGTON: Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Marco Rubio mendakwa, kapal-kapal yang terperangkap di Selat Hormuz kini berada “di bawah belas ihsan lanun Iran”, sambil menuduh rejim Tehran membiarkan kapal-kapal berkenaan tanpa bantuan.

Rubio memulakan taklimat media di sini, pada Selasa, dengan mendakwa, kapal-kapal yang terkandas di laluan perairan strategik itu seolah-olah “dibiarkan mati” oleh Iran. 

Advertisement

Beliau memberi amaran bahawa negara-negara yang tidak terlibat dalam konflik kini berdepan risiko kehilangan bukan sahaja kargo, malah nyawa warga mereka susulan sekatan Iran di selat berkenaan.

“Mereka berada di bawah belas ihsan kegiatan lanun ini,” katanya, sambil menyuarakan kebimbangan terhadap bekalan makanan dan air yang semakin berkurangan di atas kapal.

Menurut Rubio, sekurang-kurangnya 10 pelaut telah dilaporkan meninggal dunia akibat situasi itu dan beberapa negara telah meminta bantuan Amerika Syarikat untuk mengiringi kapal-kapal berdaftar mereka ke lokasi selamat.

Operasi AS bersifat defensif sepenuhnya

Dalam taklimat itu, Rubio turut menegaskan, operasi Amerika Syarikat di Selat Hormuz adalah bersifat defensif sepenuhnya.

“Tiada tembakan akan dilepaskan melainkan kami diserang terlebih dahulu,” katanya kepada media. 

“Kami hanya akan bertindak balas jika diserang dahulu.”

Beliau turut memberi amaran bahawa Washington tidak akan teragak-agak untuk bertindak jika kapal Amerika Syarikat diserang di laluan perairan tersebut.

“Jika kami ditembak, kami akan bertindak balas, dan tindak balas itu akan dilakukan dengan kecekapan maut,” katanya.

Iran tidak boleh kawal selat antarabangsa

Rubio menegaskan undang-undang antarabangsa adalah “jelas” bahawa tiada negara boleh menguasai laluan perairan antarabangsa.

Menurutnya, Iran tidak boleh dibenarkan menentukan siapa yang boleh menggunakan Selat Hormuz, sambil menyifatkan tindakan itu sebagai perbuatan jenayah yang “tidak sah sama sekali” dan “tidak boleh diterima.”

“Sesuatu perlu dilakukan,” katanya.

Rubio turut menjelaskan, atas sebab itu tentera Amerika Syarikat kini melanjutkan operasi pertahanan yang dikenali sebagai Project Freedom bagi mengiringi kapal-kapal komersial melalui Selat Hormuz dengan selamat. - Agensi

Must Watch Video