Skip to main content

Malaysia

RTM, Unifi TV penyiar rasmi Piala Dunia FIFA 2026 - Fahmi

world cup, AP
Fahmi berkata pendekatan ini memberi lebih banyak pilihan tontonan kepada peminat bola sepak tempatan, selain memastikan akses kandungan sukan premium tidak terhad kepada pelanggan platform tertentu sahaja. - Gambar fail

KUALA LUMPUR: Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan Unifi TV diumumkan penyiar rasmi Piala Dunia FIFA 2026 di Malaysia, memastikan rakyat dapat menikmati liputan temasya bola sepak berprestij itu secara inklusif, sah dan menyeluruh.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata pelantikan kedua-dua penyiar tersebut membuka akses lebih luas kepada rakyat untuk mengikuti kejohanan itu menerusi pelbagai platform.

"Kerajaan mengambil pendekatan kerjasama strategik bersama sektor swasta bagi memastikan kualiti penyiaran yang lebih baik selain memperluaskan capaian kepada penonton di seluruh negara," kata Fahmi, dalam sidang media mingguan Kementerian Komunikasi, di sini, pada Rabu.

Tambahnya, rakyat boleh mengikuti kejohanan Piala Dunia 2026 melalui siaran percuma Free-to-Air (FTA) di MYTV selain platform OTT RTMKlik dan Unifi TV.

"Kesemua 104 perlawanan sepanjang kejohanan itu akan disiarkan secara langsung di Unifi TV, manakala RTM pula akan menyiarkan sebahagian besar perlawanan sama ada secara langsung atau tertunda.

"Program grandstand khas berkaitan Piala Dunia FIFA 2026 akan diterbitkan dari Angkasapuri Kota Media dengan penyampaian utama dalam Bahasa Melayu serta sebahagian kandungan dalam Bahasa Inggeris.

"Perkembangan terkini dan liputan kejohanan itu juga akan dipaparkan menerusi program Selamat Pagi Malaysia sepanjang temasya berlangsung.

"Pendekatan ini memberi lebih banyak pilihan tontonan kepada peminat bola sepak tempatan, selain memastikan akses kandungan sukan premium tidak terhad kepada pelanggan platform tertentu sahaja," jelas Fahmi.

Dalam perkembangan sama, beberapa penaja utama bersama telah dikenal pasti dan akan dimuktamadkan dalam masa terdekat.

"Kerajaan membelanjakan sekitar RM24 juta untuk mendapatkan hak penyiaran Piala Dunia 2026 ini," tambahnya.

Must Watch Video