Skip to main content

Dunia

Konflik Asia Barat: Bagher Zolqadr ganti Ali Larijani selaku Setiausaha SNSC

Mohammad Bagher Zolqadr
Pelantikan Bagher Zolqadr dibuat bagi menggantikan tokoh keselamatan utama Republik Islam, Ali Larijani, yang terkorban dalam serangan udara Israel pada 17 Mac lalu.

KUALA LUMPUR: Bekas Timbalan Menteri Hal Ehwal Keselamatan Iran, Mohammad Bagher Zolqadr dilantik sebagai Setiausaha Majlis Keselamatan Negara Tertinggi (SNSC).

Pelantikan itu dibuat bagi menggantikan tokoh keselamatan utama Republik Islam itu, Ali Larijani, yang terkorban dalam serangan udara Israel pada 17 Mac lalu.

Advertisement

Menerusi kenyataan yang disiarkan agensi berita rasmi Iran, Press TV dan dikongsi dalam aplikasi telegram Iran Narratives,  pelantikan tersebut telah direstui oleh Pemimpin Tertinggi Iran, Mojtaba Khamenei dan Presiden Masoud Pezeshkian.

“Pelantikan ini dibuat pada saat yang sensitif ketika ketegangan serantau masih berlarutan, sekali gus mencerminkan kesinambungan dalam kerangka pembuatan keputusan strategik Iran,” kata kenyataan itu. 

Majlis Keselamatan Negara Tertinggi merupakan badan keselamatan dan pembuat keputusan tertinggi di Iran, yang bertanggungjawab menyelaras dasar keselamatan negara, strategi pertahanan serta mengurus hal ehwal kritikal negara. 

Terdahulu, Bagher Zolqadr berperanan sebagai Timbalan Menteri di bawah kabinet pentadbiran bekas Presiden Mahmoud Ahmadinejad.

Beliau turut menjawat sebagai Setiausaha Majlis Penilaian Kepentingan (EDC) berperanan sebagai pengimbang antara Parlimen dan Majlis Penjaga.

Pada era-80 an beliau juga pernah menjadi komander Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC).


 

Must Watch Video