Skip to main content

Dunia

Konflik Asia Barat berisiko untuk merebak, babitkan kumpulan proksi

Smoke rises after an Israeli strike on Beirut's southern suburbs, following an escalation between Hezbollah and Israel amid the U.S.-Israeli conflict with Iran, Lebanon, March 6, 2026. REUTERS/Khalil Ashawi
Saling balas serangan ketenteraan sepanjang minggu lepas telah menyebabkan gangguan meluas di seluruh Asia Barat. - Foto REUTERS

KUALA LUMPUR: Konflik yang sedang bergolak di Asia Barat berisiko mencetuskan kesan rantaian yang lebih luas apabila penglibatan kumpulan proksi terus meruncingkan keadaan.

Penganalisis geopolitik dan keselamatan menyuarakan kebimbangan serius terhadap implikasi konflik terbaharu itu, yang dicetuskan oleh serangan terselaras Amerika Syarikat (AS)-Israel ke atas Iran pada 28 Feb, serta serangan balas Tehran terhadap aset AS di negara-negara Teluk yang kini mula merebak ke luar rantau berkenaan.

Advertisement

Datuk Ilango Karuppannan dari Universiti Malaya memberi amaran bahawa pembabitan kumpulan proksi boleh menyebabkan situasi menjadi tidak terkawal dengan pantas, sekali gus membuka pelbagai ruang konflik baharu dan meningkatkan risiko kesilapan percaturan.

"Bahaya sebenar bukan hanya pada pertempuran itu sendiri, tetapi kemungkinan konflik terbabit melebar melangkaui matlamat asal mana-mana pihak," katanya.

Kumpulan yang menyokong Iran di Lubnan, Iraq, Syria, dan Yaman termasuk Hezbollah dan Houthi, menurut beliau, mempunyai keupayaan untuk menyasarkan kemudahan ketenteraan, perkapalan komersial, dan infrastruktur tenaga.

"Sejarah menunjukkan bahawa sebaik sahaja pelbagai pemain dan proksi terlibat, peperangan di rantau ini menjadi jauh lebih sukar untuk disekat. Konflik ini boleh berubah daripada konfrontasi dua hala kepada krisis keselamatan serantau yang lebih luas," katanya kepada Bernama.

 

Paksi Cetus Konflik Berpanjangan

Ilango berkata, konfrontasi semasa yang didorong oleh objektif strategik yang lebih mendalam antara AS, Israel, dan Iran, menjadikan penyelesaian konflik semakin sukar dicapai.

"AS dan Israel mengejar matlamat strategik termasuk melemahkan atau berpotensi mengubah struktur kepimpinan Iran, manakala Iran bermatlamat untuk memastikan kelangsungan rejim dan meningkatkan kos peperangan bagi pihak lawan," katanya.

Presiden AS, Donald Trump mengisytiharkan bahawa operasi ketenteraan itu boleh berlarutan sekurang-kurangnya empat minggu, manakala Tehran memberi isyarat sedia untuk meneruskan konflik selagi AS dan Israel memilih untuk melakukannya.

"Selagi objektif tersebut tidak serasi, konflik ini berisiko menjadi berpanjangan dan bukannya diselesaikan dengan cepat. Dari sejarahnya, peperangan di Asia Barat jarang sekali terhad kepada medan tempur awal. Sebaliknya, ia cenderung berkembang secara beransur-ansur apabila pemain tambahan terlibat, seperti yang kita lihat di Iraq dan Afghanistan," jelas Ilango.

Isu kebuntuan nuklear juga kekal sebagai sebuah punca utama dalam konflik ini, dengan Washington menuntut Iran menghentikan sepenuhnya pengayaan uranium.

Bagaimanapun, Ilango, yang pernah berkhidmat sebagai Duta Besar Malaysia ke Lubnan dan Pesuruhjaya Tinggi ke Cyprus menyifatkan tuntutan itu sebagai tidak realistik memandangkan Iran menegaskan haknya untuk tenaga nuklear aman dan berulang kali menyatakan tidak berniat membangunkan senjata nuklear.

"Saya berpendapat AS mahukan rejim baharu yang lebih akur. 

"Namun persoalannya, perubahan rejim yang bagaimana? Bagaimana jika ia menjadi lebih buruk? Bagaimana jika tentera atau IRGC (Kor Pengawal Revolusi Islam) mengambil alih? Iran yang lebih bersifat ketenteraan boleh menjadi lebih berbahaya," katanya.

Trump dilaporkan berkata, beliau mahu terlibat secara peribadi dalam memilih pemimpin Iran yang seterusnya. Beliau menolak Mojtaba Khamenei, anak kepada Khamenei, sebagai "tidak boleh diterima" dan memberi amaran bahawa jika pemimpin yang dipilih "meneruskan dasar Khamenei," AS akan terpaksa kembali berperang dalam tempoh lima tahun.

 

Pemindahan Besar-besaran, Tekanan Ekonomi

Saling balas serangan ketenteraan sepanjang minggu lepas telah menyebabkan gangguan meluas di seluruh Asia Barat, termasuk penutupan ruang udara yang mencetuskan huru-hara perjalanan serta memaksa kerajaan-kerajaan terlibat membawa pulang rakyat mereka daripada kawasan terkesan.

Serangan tentera Israel dan AS dilaporkan mengenai infrastruktur ketenteraan dan nuklear Iran, selain mengorbankan beberapa pemimpin tertinggi Iran termasuk Pemimpin Agung Ayatollah Ali Khamenei serta lebih 1,000 orang awam.

Serangan balas Iran di seluruh Teluk juga memaksa penutupan kilang penapis petroleum di beberapa negara, termasuk Arab Saudi, Qatar, dan Bahrain. Pada masa yang sama, IRGC bertindak menyekat Selat Hormuz - laluan kritikal bagi penghantaran minyak global - yang terus mengganggu rantaian bekalan tenaga dunia.

Ilango berkata impak berkenaan adalah signifikan, sambil menekankan bahawa pemindahan besar-besaran boleh membawa kesan ekonomi mendadak kerana banyak ekonomi Asia Barat sangat bergantung kepada pekerja ekspatriat dalam sektor utama seperti tenaga, kewangan, logistik, dan pembinaan.

Di beberapa negara Teluk, pekerja asing merangkumi antara 70 hingga 90 peratus daripada tenaga kerja, termasuk jutaan dari Asia.

"Ini bermakna sebarang pemergian mengejut ekspatriat boleh mengganggu aktiviti ekonomi penting secara signifikan.

Kesannya tidak akan terhad kepada Asia Barat sahaja. Gangguan ini boleh diterjemahkan kepada harga tenaga yang lebih tinggi, peningkatan kos penghantaran, dan kelewatan dalam rantaian bekalan global, yang seterusnya menyumbang kepada tekanan inflasi dalam ekonomi global yang lebih luas," katanya.

 

Kesan Kepada Asia Tenggara

Sementara itu, Naib Presiden Bersekutu di The Asia Group, Asrul Sani berkata, Asia Tenggara sudah mula merasai kesan konflik terbabit dan implikasinya akan menjadi lebih meluas.

Beliau berkata, ASEAN kini berdepan "himpitan tiga kali ganda" iaitu kenaikan harga tenaga, gangguan perkapalan, dan risiko kejutan kiriman wang jika pekerja migran di Asia Barat mula pulang ke tanah air.

"ASEAN tidak lagi hanya memerhatikan krisis yang jauh. Ia sudah pun berdepan dengan kesan ekonomi. Ini bukan lagi sekadar mengenai pendirian diplomatik, tetapi mengenai impak ekonomi domestik di seluruh rantau ini," katanya kepada Bernama dari Singapura.

Beliau berkata, dalam situasi sedemikian, kapasiti fiskal kerajaan akan menentukan ekonomi mana yang mampu membendung impak dan mengharungi gangguan itu.

Asrul turut mengulas mengenai faktor "jam budaya," merujuk kepada bagaimana garis masa keagamaan dan budaya dalam masyarakat majoriti Islam boleh membentuk reaksi orang awam terhadap konflik itu.

"Jika konflik ini berlarutan melangkaui musim Aidilfitri dan Haji, tekanan domestik boleh meningkat di negara-negara majoriti Islam di Asia Tenggara, sekali gus menguji hubungan dua hala dengan rakan kongsi Barat," katanya.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video