Skip to main content

Dunia

Konflik Asia Barat: China, Pakistan desak gencatan senjata, rundingan damai dan pemulihan Selat Hormuz

Pakistan's Deputy Prime Minister and Minister for Foreign Affairs Senator Mohammad Ishaq Dar meets with Chinese Foreign Minister Wang Yi, at the Diaoyutai State Guesthouse in Beijing, China, March 31, 2026. Press Information Department (PID)/Handout via REUTERS THIS IMAGE HAS BEEN SUPPLIED BY A THIRD PARTY.
Gambar edaran bertarikh 31 Mac 2026 yang dikeluarkan oleh Kementerian Luar Pakistan menunjukkan Menteri Luar China, Wang Yi, menyambut rakan sejawatnya dari Pakistan, Ishaq Dar, dalam satu pertemuan di Beijing. - Reuters

BEIJING: China dan Pakistan pada Selasa menggesa gencatan senjata segera di Asia Barat, di samping menyeru supaya rundingan damai dimulakan secepat mungkin serta pelayaran normal di Selat Hormuz dipulihkan, menurut kenyataan selepas pertemuan menteri luar kedua-dua negara di Beijing.

Kedua-dua negara turut menyuarakan sokongan agar usaha diplomatik dilakukan bagi menamatkan konflik AS–Israel dengan Iran yang kini memasuki minggu kelima. 

Advertisement

Pakistan,  yang berkongsi sempadan lebih 900 kilometer dengan Iran sebelum ini menyatakan kesediaannya bertindak sebagai fasilitator rundingan damai antara Washington dan Tehran, berbekalkan kedudukannya sebagai negara berjiran dengan Iran serta peranannya sebagai pemain berkecuali di rantau itu.

Dalam inisiatif lima perkara yang dibentangkan, China dan Pakistan menegaskan bahawa:

  • Dialog dan diplomasi adalah satu-satunya jalan realistik bagi menyelesaikan konflik.
  • Semua pihak perlu komited menyelesaikan pertikaian melalui cara damai.
  • Kedaulatan, integriti wilayah, kemerdekaan dan keselamatan Iran serta negara-negara Teluk perlu dihormati.
  • Orang awam, infrastruktur awam dan fasiliti nuklear aman mesti dilindungi.

Menteri Luar China, Wang Yi dan rakan sejawatnya dari Pakistan, Mohammad Ishaq Dar turut menekankan keperluan menjamin keselamatan laluan perairan, termasuk kapal dan kru yang terkandas di sekitar Selat Hormuz — kawasan strategik yang kini menjadi tumpuan kebimbangan global.

Kedua-dua negara itu turut menyeru semua pihak supaya membenarkan kapal komersial dan kapal awam melalui Selat Hormuz dengan selamat secepat mungkin serta mengembalikan operasi pelayaran normal di laluan kritikal itu pada kadar segera.

Must Watch Video