KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Lembah Pantai, Datuk Fahmi Fadzil berkongsi detik menjadi saksi operasi kejar-mengejar polis ketika beliau dalam perjalanan ke kawasan parlimen beliau.
Menerusi hantaran di TikTok hari ini, Fahmi berkata pada awalnya beliau menyangka kejadian tersebut merupakan satu kemalangan sebelum mendapati ia adalah operasi polis bagi mengejar suspek yang dipercayai terlibat dalam kes dadah.
"Polis berjaya tangkap beberapa suspek yang cuba melarikan diri," katanya.
Fahmi turut merakamkan penghargaan kepada pasukan Polis Balai Pantai atas tindakan pantas yang diambil dalam operasi tersebut.
“Syabas dan terima kasih kepada pasukan Polis Balai Pantai atas tindakan pantas, serta komitmen berterusan dalam memastikan keselamatan dan ketenteraman penduduk setempat sentiasa terpelihara,” katanya dalam hantaran itu.
Setakat ini, belum ada kenyataan rasmi dikeluarkan oleh pihak polis berhubung operasi berkenaan.