WASHINGTON: Lubnan dan Israel bersetuju melanjutkan tempoh gencatan senjata selama 45 hari, menurut Jabatan Negara Amerika Syarikat (AS), susulan dua hari rundingan yang berlangsung di Washington.
Pengumuman itu dibuat pada Jumaat (15 Mei), ketika Israel terus melancarkan serangan baharu yang didakwanya tidak tertakluk kepada perjanjian gencatan senjata.
Israel sebelum ini melancarkan serangan intensif ke atas Lubnan dan menceroboh wilayah selatannya sebagai tindak balas terhadap serangan daripada Hezbollah, kumpulan Syiah yang disokong Iran dan tidak terlibat dalam diplomasi gencatan senjata tersebut.
Wakil Israel dan kerajaan Lubnan - yang berdepan cabaran mengawal Hezbollah mengadakan pertemuan selama dua hari di Washington, dengan kedua-dua pihak mencapai persetujuan untuk melanjutkan gencatan senjata yang dijadualkan tamat pada Ahad.
Jurucakap Jabatan Negara, Tommy Pigott berkata, langkah menghentikan permusuhan itu dilanjutkan bagi memberi ruang kepada kemajuan lanjut dalam rundingan.
“Gencatan senjata akan dilanjutkan selama 45 hari bagi membolehkan rundingan mencapai kemajuan yang lebih ketara,” katanya.
Menurut Pigott, Jabatan Negara akan meneruskan rundingan ke arah perjanjian politik yang berkekalan pada 2 dan 3 Jun, manakala Pentagon pula akan menghimpunkan delegasi ketenteraan kedua-dua negara pada 29 Mei.
Amerika Syarikat yang merupakan sekutu rapat Israel - termasuk dalam serangan terhadap Iran pada 28 Februari lalu turut menyuarakan kebimbangan secara berhati-hati mengenai kawalan tentera Israel di selatan Lubnan.
“Kami berharap perbincangan ini dapat membuka jalan ke arah keamanan berkekalan antara kedua-dua negara, termasuk pengiktirafan penuh terhadap kedaulatan dan integriti wilayah masing-masing serta jaminan keselamatan sebenar di sepanjang sempadan bersama,” ujar Pigott.
Duta Israel ke Washington, Yechiel Leiter yang mengetuai delegasi negaranya, menegaskan, aspek keselamatan Israel kekal menjadi keutamaan.
“Perjalanan ini akan melalui pelbagai cabaran, namun potensi untuk berjaya adalah besar,” katanya dalam kenyataan di platform X.
Sementara itu, Iran sebagai penyokong utama Hezbollah menuntut gencatan senjata berkekalan di Lubnan sebagai pra-syarat kepada sebarang perjanjian damai dengan Presiden AS, Donald Trump, yang dilaporkan kecewa dengan keengganan Tehran untuk mencapai persetujuan mengikut syaratnya. - Agensi