TEHRAN: Amerika Syarikat (AS) mengesahkan dua helikopter Black Hawk telah ditembak oleh angkatan tentera Iran ketika misi mencari dan menyelamat di sempadan Republik Islam itu.
Namun, laporan media menyatakan kedua-dua helikopter tersebut berjaya berundur keluar dari ruang udara Iran.
Advertisement
Misi tersebut bertujuan untuk mengesan dua kru pesawat F-15E Strike Eagle yang telah ditembak jatuh sebelum itu.
Pegawai Amerika turut memaklumkan bahawa operasi yang dijalankan hanya berjaya menemukan seorang daripada dua kru pesawat berkenaan.
Difahamkan, kru tersebut sempat melepaskan diri daripada pesawat yang gagal berfungsi akibat tembakan pihak Iran.
Kerajaan Iran turut meminta orang ramai dan penduduk tempatan membantu dalam usaha menjejaki juruterbang pesawat tersebut, terutama di kawasan pergunungan di sekitar wilayah Kohgiluyeh‑Boyer‑Ahmad dan Khuzestan
Media tempatan menayangkan bangkai pesawat dan menawarkan ganjaran bagi mereka yang berjaya menangkap atau menemui juruterbang tersebut.
Pesawat F-15 berperanan untuk memintas sebarang serangan udara dari Iran yang disasarkan ke Israel.
Untuk rekod, semasa Perang 12 Hari pada 2025, pesawat berkenaan dilaporkan berjaya memintas lebih 70 dron Iran.
Ini merupakan kejadian pertama yang dilaporkan secara rasmi selepas Trump mendakwa angkatan tentera Amerika berjaya melumpuhkan struktur ketenteraan Iran.
Dalam kejadian berasingan, sebuah pesawat A-10 Thunderbolt II turut ditembak dan terhempas di Kuwait.
Juruterbang pesawat tersebut juga sempat melepaskan diri, namun tahap kecederaan yang dialaminya masih belum dapat dipastikan.