Skip to main content

Dunia

Konflik Asia Barat: Iran nafi rundingan terus dengan AS, hanya terima mesej perantara

Iran pursues diplomatic path, but remains vigilant: spokesman
Esmaeil Baghaei (foto) berkata mesej yang diterima menggambarkan hasrat Washington untuk membuka ruang rundingan, namun Tehran menegaskan pendiriannya tidak berubah sejak awal konflik. -Gambar fail/Reuters

TEHRAN: Iran menegaskan bahawa pihaknya tidak mengadakan sebarang rundingan terus dengan Amerika Syarikat (AS) bagi menamatkan konflik semasa, sebaliknya hanya menerima mesej yang disampaikan melalui beberapa negara perantara. 

Menurut jurucakap Kementerian Luar, Esmaeil Baghaei, mesej yang diterima menggambarkan hasrat Washington untuk membuka ruang rundingan, namun Tehran menegaskan pendiriannya tidak berubah sejak awal konflik.

Advertisement

“Saya tertanya-tanya berapa ramai orang di Amerika yang memandang serius dakwaan diplomasi mereka sendiri.

"Prinsip kami jelas, tidak seperti pihak lawan yang sering berubah-ubah,” katanya dalam kenyataan yang dipetik agensi berita separa rasmi Tasnim, hari ini.

Beliau menambah bahawa permintaan yang disampaikan Washington menerusi mesej berkenaan disifatkan sebagai melampau dan tidak munasabah, selain menegaskan bahawa sebarang serangan terhadap infrastruktur kritikal Iran akan menerima tindak balas tegas, segera dan berkesan.

Mengulas mengenai penglibatan Pakistan sebagai perantara, Esmaeil Baghaei menjelaskan bahawa pertemuan diplomatik yang dianjurkan Islamabad dibuat atas inisiatif negara itu sendiri, tanpa penglibatan langsung daripada Tehran.

“Sokongan negara serantau dalam usaha menamatkan peperangan amat dialu-alukan, tetapi mereka harus berhati-hati dalam menilai pihak mana yang sebenarnya mencetuskan konflik ini,” katanya lagi.

Kenyataan tersebut hadir ketika laporan antarabangsa menyebut Pakistan, Mesir dan Turkiye sedang giat menggerakkan usaha diplomasi bagi meredakan ketegangan antara Tehran dan Washington di Asia Barat, ketika perang memasuki minggu keempat.

 

Must Watch Video