TEHRAN: Kerajaan Iran dilaporkan menawarkan ganjaran kepada mana‑mana pihak yang berjaya menangkap juruterbang tentera Amerika Syarikat (AS) yang masih hilang hidup‑hidup, ketika operasi mencari dan menyelamat oleh pasukan AS berdepan situasi berbahaya susulan tembakan di kawasan kejadian.
Televisyen milik kerajaan Iran melaporkan pengumuman itu dibuat melalui siaran rasmi di wilayah barat daya negara berkenaan, dengan gesaan kepada orang awam agar membantu pihak keselamatan menahan juruterbang AS yang dipercayai melenting keluar selepas pesawat pejuang F‑15 ditembak jatuh.
Advertisement
Menurut laporan rakan berita BBC, CBS News, usaha mencari dan menyelamat oleh tentera AS melibatkan aset udara termasuk helikopter dan pesawat sokongan, namun operasi itu dilaporkan berdepan tembakan senjata ringan dari darat.
Media AS turut melaporkan sekurang‑kurangnya dua helikopter yang terlibat dalam misi membawa keluar kru pesawat telah ditembak, namun berjaya berlepas tanpa kecederaan serius ke atas anggota yang terlibat.
Dalam pengumuman yang disiarkan, seorang penyampai televisyen Iran dilaporkan berkata, penduduk tempatan akan menerima “ganjaran bernilai” sekiranya menyerahkan juruterbang AS itu kepada pihak tentera atau polis Iran.
Beberapa laporan turut menyebut mesej di skrin yang menyeru orang awam bertindak agresif terhadap pesawat yang dikesan di kawasan itu, sekali gus meningkatkan tahap risiko kepada pasukan penyelamat.
Sementara itu, pihak AS masih belum mengesahkan secara rasmi keadaan atau lokasi juruterbang yang hilang, dengan White House setakat ini hanya memaklumkan, Presiden telah diberi taklimat mengenai perkembangan terkini.
Insiden berkenaan menandakan peningkatan ketegangan dalam konflik yang berlarutan hampir lima minggu di rantau Asia Barat, sekali gus mencetuskan kebimbangan antarabangsa terhadap keselamatan anggota tentera serta risiko eskalasi ketenteraan yang lebih meluas. - Agensi