Skip to main content

Dunia

Konflik Asia Barat: Iran ugut serang syarikat teknologi AS jika lebih ramai pemimpin mereka dibunuh

Women sit at a home, which was damaged by a strike, amid the U.S.-Israeli conflict with Iran, in Tehran, Iran, March 30, 2026. Majid Asgaripour/WANA (West Asia News Agency) via REUTERS ATTENTION EDITORS - THIS PICTURE WAS PROVIDED BY A THIRD PARTY
Ketegangan konflik Iran-Amerika Syarikat terus meningkat apabila Pasukan Pengawal Revolusi Iran mengeluarkan amaran tegas bahawa mereka akan menyasarkan syarikat teknologi gergasi Amerika Syarikat sekiranya lebih ramai pemimpin utama Iran terbunuh dalam insiden yang dianggap sebagai pembunuhan tersasar. - Gambar Reuters

TEHRAN: Ketegangan konflik Iran-Amerika Syarikat (AS) terus meningkat apabila Pasukan Pengawal Revolusi Iran (IRGC) mengeluarkan amaran tegas bahawa mereka akan menyasarkan syarikat teknologi gergasi Amerika Syarikat sekiranya lebih ramai pemimpin utama Iran terbunuh dalam insiden yang dianggap sebagai pembunuhan tersasar.

Menurut laporan media Iran dan antarabangsa, IRGC mendakwa, syarikat-syarikat teknologi AS memainkan peranan penting dalam membantu proses pengesanan serta penjejakan sasaran bagi operasi pembunuhan, sekaligus menjadikan mereka “sasaran sah” bagi tindakan balas.

Advertisement

Dalam kenyataan yang dikeluarkan, IRGC menamakan 18 syarikat gergasi Amerika Syarikat merangkumi sektor teknologi, perisian, kewangan, penerbangan dan pembuatan. 

Antara syarikat yang disenaraikan ialah Apple, Google, Meta, Microsoft, Intel, IBM, Oracle, Tesla, Hewlett Packard, Dell, Cisco, Nvidia, Palantir, JP Morgan, General Electric dan Boeing.

IRGC menetapkan bahawa syarikat-syarikat tersebut perlu menjangkakan pemusnahan unit operasi mereka sekiranya satu lagi pembunuhan pemimpin Iran berlaku. 

Ancaman ini berkuat kuasa bermula jam 8 malam waktu Tehran, 1 April.

Dalam amaran tambahan, IRGC menggesa pekerja syarikat-syarikat teknologi AS di Asia Barat meninggalkan tempat kerja serta-merta dan penduduk yang tinggal dalam radius satu kilometer dari pejabat syarikat tersebut berpindah ke kawasan lebih selamat.

Langkah itu menggambarkan kemungkinan eskalasi ketegangan yang kini turut menjangkau aset korporat dan bukan lagi terhad kepada sasaran ketenteraan.

Ancaman IRGC dikeluarkan susulan pembunuhan beberapa tokoh kanan Iran sejak perang bermula pada 28 Februari, termasuk Pemimpin Tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei, Komander utama IRGC, Mohammad Pakpour dan Ketua keselamatan Iran, Ali Larijani.

AS dan Israel sebelum ini mendakwa operasi mereka bertujuan melemahkan kepimpinan ketenteraan Iran. 

Namun, penganalisis antarabangsa menyatakan republik itu masih menunjukkan keupayaan untuk bertindak balas walaupun kehilangan beberapa pemimpin utama.

Amaran IRGC dilihat selari dengan beberapa insiden serangan ke atas syarikat AS yang sudah berlaku. 

Pada awal Mac, Amazon melaporkan dua pusat datanya di Emiriah Arab Bersatu diserang dron, manakala satu pusat data lain di Bahrain turut rosak akibat letupan berdekatan.

Insiden-insiden ini meningkatkan kebimbangan bahawa aset digital dan infrastruktur syarikat AS di Asia Barat kini berada dalam keadaan berisiko tinggi.

Ancaman terbuka terhadap syarikat teknologi AS menandakan fasa baharu eskalasi konflik, dengan Iran kini mengalihkan fokus kepada aset komersial global yang dianggap berkait dengan operasi ketenteraan AS.

Amaran ini hadir pada ketika Presiden AS, Donald Trump menyatakan usaha diplomasi sedang dilakukan untuk menamatkan perang, namun turut memberi amaran bahawa operasi ketenteraan terhadap Iran mungkin diperhebat sekiranya keadaan berterusan. - Agensi

Must Watch Video