TEL AVIV: Israel berdepan serangan peluru berpandu yang dilancarkan dari Iran pada awal pagi Sabtu, dengan beberapa letupan dilaporkan di sekitar Tel Aviv ketika sistem pertahanan udara negara itu diaktifkan.
Tentera Israel dilaporkan mengesan beberapa peluru berpandu dilancarkan dari Iran ke arah Israel, sekali gus mencetuskan siren amaran serangan udara di beberapa kawasan utama.
Advertisement
Serangan itu merupakan kesinambungan daripada siri serangan balas Iran sejak konflik memuncak pada hujung Februari lalu, yang turut menyaksikan pelancaran dron secara berkumpulan atau “drone swarm” ke arah Israel dan beberapa sasaran lain di rantau Asia Barat.
Media antarabangsa melaporkan, antara kawasan yang terjejas termasuk Tel Aviv, Petah Tikva, Beersheba serta Beit Shemesh.
Di kawasan berhampiran Tel Aviv, sebuah bangunan dilaporkan mengalami kerosakan akibat serpihan peluru berpandu, manakala beberapa kebakaran kecil turut dilaporkan.
Serangan di Beit Shemesh dilaporkan paling buruk setakat ini dengan sekurang-kurangnya sembilan orang terbunuh, manakala serangan lain di Beersheba menyebabkan sekurang-kurangnya 19 orang cedera.
Beberapa letupan turut kedengaran di Tel Aviv apabila sistem pertahanan udara Israel diaktifkan bagi memintas peluru berpandu yang dilancarkan dari Iran.
Tidak lama selepas serangan itu, tentera Israel memaklumkan ia telah memulakan gelombang serangan balas baharu yang menyasarkan infrastruktur Iran di Tehran.
Israel turut melancarkan serangan di Lubnan, dengan menyasarkan kedudukan yang didakwa berkaitan Iran serta kumpulan Hezbollah.
Setakat ini, tiada kenyataan segera dikeluarkan oleh Pengawal Revolusi Iran atau Hezbollah berhubung perkembangan terbaharu tersebut.
Ketegangan di Asia Barat terus memuncak dengan kedua-dua pihak saling melancarkan serangan yang berpotensi memperluas konflik di rantau berkenaan. - Agensi