SINGAPURA: Perdana Menteri Singapura Lawrence Wong memberi amaran bahawa impak konflik di Asia Barat berkemungkinan berterusan dan memuncak, dengan gangguan bekalan yang berpanjangan serta tekanan global yang kian meningkat dijangka berlaku dalam beberapa bulan akan datang.
“Di peringkat global, inflasi akan meningkat, bermula daripada tenaga kepada makanan dan kemudian keperluan asas yang lain, malah beberapa ekonomi mungkin akan mengalami kemelesetan.
Advertisement
“Singapura akan merasai kesannya secara langsung,” katanya sambil menambah bahawa tekanan itu akan membebankan perniagaan, pekerja dan isi rumah.
Berucap pada Perhimpunan Hari Pekerja pada Jumaat, Wong berkata penutupan Selat Hormuz selama dua bulan telah menyebabkan harga tenaga global melonjak dan bekalan menjadi terhad, dengan Asia amat terdedah berikutan pergantungannya kepada import dari Teluk.
“Di Asia, kita amat terkesan kerana pergantungan yang tinggi terhadap tenaga dan bekalan kritikal lain dari Teluk,” katanya.
Sebagai tindak balas, Wong berkata Singapura sedang bekerjasama dengan negara-negara yang mempunyai pemikiran yang sama untuk memperkukuh daya tahan rantaian bekalan dan sokongan bersama.
“Kami sedang memastikan keselamatan talian bekalan untuk tenaga dan barangan keperluan lain, sambil meningkatkan sokongan kepada rakyat Singapura,” katanya.
Beliau berkata kerajaan juga sedang melancarkan langkah-langkah bersasar bagi membantu isi rumah dan perniagaan menangani kenaikan kos. Pada April, Singapura memperkenalkan pakej sokongan bernilai S$1 bilion, termasuk bantuan untuk perniagaan yang berdepan kos tenaga yang lebih tinggi serta sokongan tambahan untuk isi rumah melalui rebat U-Save dan baucar Majlis Pembangunan Komuniti (CDC).
Wong berkata Singapura lebih bersedia untuk mengharungi krisis itu, memetik pengurusan fiskal yang berhemat dan pelaburan dalam daya tahan tenaga.
“Kami telah membuat pilihan yang sukar lebih awal, mengurus kewangan kami secara berhemat dan membina rizab kami. Pada masa yang sama, kami melabur untuk memperkukuh daya tahan tenaga kami,” katanya.
-- BERNAMA