Skip to main content

Dunia

Konflik Asia Barat: Pakistan umum langkah penjimatan drastik susulan pembelian panik

Reuters
Ketegangan meningkat apabila berlaku aktiviti pembelian panik di stesen minyak pada 6 Mac lalu. -Gambar fail/Reuters

ISLAMABAD: — Kerajaan Pakistan melaksanakan langkah penjimatan bahan api drastik selepas harga minyak dunia melonjak melepasi AS$100 setong, sekali gus mencetuskan pembelian panik di negara yang sangat bergantung kepada import tersebut.

Perdana Menteri Shehbaz Sharif pada Isnin mengumumkan puluhan langkah penjimatan bagi menangani krisis bahan api global yang dipacu ketegangan di Asia Barat.

Advertisement

Antara langkah utama ialah pengoperasian empat hari bekerja seminggu bagi sektor awam serta penugasan 50 peratus kakitangan untuk bekerja dari rumah, bertujuan mengurangkan penggunaan bahan api kerajaan.

“Situasi serantau dan peperangan telah menjejaskan kestabilan ekonomi yang kita usahakan selama ini, namun kerajaan sedang melakukan segala usaha bagi mengelak bebanan terus kepada rakyat,” kata Shehbaz Sharif dalam ucapan khas.

Selain itu, perbelanjaan kerajaan akan dikurangkan sebanyak 20 peratus, manakala peruntukan bahan api kenderaan jabatan kerajaan dipotong 50 peratus bagi dua bulan akan datang.

Langkah ini diumumkan selepas kerajaan menaikkan harga bahan api sebanyak 55 rupee, susulan peningkatan mendadak harga pasaran global.

Ketegangan meningkat apabila berlaku aktiviti pembelian panik di stesen minyak pada 6 Mac lalu.

Situasi itu turut memburukkan tekanan terhadap rantaian bekalan negara ketika krisis tenaga global semakin meruncing.

Sejurus itu, kerajaan menegaskan bahawa langkah luar biasa ini penting bagi memastikan kelangsungan bekalan tenaga negara. 

Must Watch Video