ABU DHABI: Pertahanan udara Emiriah Arab Bersatu (UAE) memintas lima peluru berpandu balistik dan 35 pesawat tanpa pemandu (UAV) yang dilancarkan dari Iran, pada Rabu lapor Agensi Berita Emiriah (WAM).
Sejak bermulanya serangan terang-terangan Iran, pertahanan udara UAE telah memintas sebanyak 438 peluru berpandu balistik, 19 peluru berpandu jelajah dan 2,012 UAV.
Advertisement
Serangan berkenaan mengakibatkan dua anggota angkatan tentera terkorban ketika menjalankan tugas negara, selain kematian seorang warga Maghribi yang merupakan kontraktor Angkatan Tentera, serta sembilan lagi kematian membabitkan warga Pakistan, Nepal, Bangladesh, Palestin dan India.
Seramai 190 orang turut mengalami kecederaan yang merangkumi kecederaan ringan, sederhana dan parah.
Mangsa yang cedera termasuk warga UAE, Mesir, Sudan, Ethiopia, Filipina, Pakistan, Iran, India, Bangladesh, Sri Lanka, Azerbaijan, Yaman, Uganda, Eritrea, Lubnan, Afghanistan, Bahrain, Comoros, Turkiye, Iraq, Nepal, Nigeria, Oman, Jordan, Palestin, Ghana, Indonesia, Sweden dan Tunisia.
Kementerian Pertahanan menegaskan bahawa pihaknya kekal dalam kesiapsiagaan sepenuhnya untuk menangani sebarang ancaman dan akan menentang sekeras-kerasnya sebarang cubaan yang bertujuan menggugat keselamatan negara, demi memastikan perlindungan kedaulatan, keselamatan, kestabilan serta menjaga kepentingan dan keupayaan nasional.
-- BERNAMA-WAM