KUALA LUMPUR: Konflik di rantau Asia Barat berkemungkinan merupakan sebahagian daripada strategi politik domestik di Amerika Syarikat menjelang pilihan raya pertengahan penggal pada November.
Pensyarah Sains Politik Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIA), Prof Madya Dr Syaza Farhana Mohamad Shukri berkata sejarah politik AS menunjukkan kecenderungan negara itu terlibat dalam konflik ketika menghampiri musim pilihan raya.
Advertisement
"Biasanya apabila hampir pilihan raya midterm, memang ada kemungkinan untuk Amerika Syarikat terjebak dalam konflik kerana ia boleh membantu dari segi sokongan politik.
"Perkara ini kita sebutkan sebagai kesan ‘rallying around the flag’ iaitu lonjakan sokongan rakyat terhadap kerajaan ketika situasi krisis.
"Tambahaan pula, Trump dilihat sebagai pemimpin populis di mana apa yang dikatakan beliau akan diambil bulat-bulat oleh penyokong, walaupun realiti menunjukkan perkara berbeza," jelasnya dalam program Buletin Khas Awani, di sini, pada Sabtu.
Namun Syaza melihat naratif diangkat ini mungkin membawa padah kerana ia bertentangan dengan janji kempen Trump yang menolak penglibatan AS dalam konflik Asia Barat.
“Dulu Trump membuat janji bahawa AS tidak akan pergi perang di Asia Barat kerana ia tidak ada kaitan langsung dengan kepentingan mereka, dan beliau menang pilihan raya atas janji itu.
"Pergolakan sekarang menyebabkan harga minyak meningkat dan ia adalah sebaliknya daripada apa yang dijanjikan Trump semasa kempen,” ujar Syaza.
Seterusnya, konflik Asia Barat turut memperlihatkan jurang yang semakin melebar antara AS dan sekutu tradisional di Eropah, khususnya dalam kerangka NATO.
"Kita sedang bergerak ke arah dunia ‘multi-polar’ di mana kebanyakan negara dunia cuba mengimbangi sekutu kuasa besar seperti Amerika Syarikat dan China.
"Namun realitinya, kita tidak boleh lari daripada mengambil kira kedudukan Amerika Syarikat. Jika mereka tiada di meja rundingan, agak sukar untuk sebarang usaha perdamaian diteruskan," katanya.