GEORGE TOWN: Pulau Pinang bekerjasama rapat dengan kerajaan Persekutuan dan agensi keselamatan bagi memastikan pengurusan hampir 20,022 pelarian dan pemohon suaka komuniti Rohingya yang berada di negeri itu, dilaksanakan secara teratur, berdaftar dan terkawal.
Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata berdasarkan data Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) sehingga Ogos 2023, dianggarkan sebanyak 20,022 pelarian dan pemohon suaka komuniti Rohingya berada di Pulau Pinang dan menetap di beberapa kawasan di negeri itu.
“Mereka tinggal di kawasan Kepala Batas, Tasek Gelugor, Bagan, Permatang Pauh, Bukit Mertajam, Batu Kawan, Nibong Tebal, Bukit Bendera, Tanjong, Jelutong, Bukit Gelugor, Bayan Baru dan Balik Pulau.
“Kerajaan negeri sentiasa mengambil pendekatan pragmatik, berhemah dan bertanggungjawab dalam menangani isu pelarian serta pemohon suaka yang berada di negeri ini, selaras dengan dasar dan keputusan yang ditetapkan oleh kerajaan Persekutuan,” katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) ke-26, PBA Holdings Bhd (PBAHB) di sini hari ini.
Beliau mengulas mengenai situasi semasa dan jumlah komuniti Rohingya yang berada di Pulau Pinang.
Chow menjelaskan bahawa urusan kemasukan warga asing, pengiktirafan status pelarian, kawalan sempadan dan penguatkuasaan imigresen, berada di bawah bidang kuasa kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Dalam Negeri (KDN), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Justeru, beliau berkata kerajaan negeri sentiasa memberi sokongan penuh kepada pelaksanaan Arahan MKN No. 23 (Semakan 2023), termasuk mekanisme Dokumen Pendaftaran Pelarian (DPP) yang bertujuan memastikan pengurusan pelarian dilaksanakan secara lebih sistematik, berdaftar dan terkawal.
“DPP dilihat bukan dasar untuk menambah pelarian di Pulau Pinang, tetapi satu mekanisme kerajaan Persekutuan untuk mengetahui siapa mereka, di mana mereka berada dan bagaimana mereka boleh dipantau dengan lebih berkesan,” katanya.
Beliau juga menengaskan kerajaan negeri tidak akan berkompromi terhadap pelanggaran undang-undang dengan sebarang aktiviti jenayah, penyalahgunaan dokumen, pemerdagangan manusia, penglibatan dalam kegiatan tidak bermoral atau pelanggaran syarat imigresen, yang akan ditangani pihak berkuasa mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa, tanpa sebarang pengecualian.
Dalam perkembangan lain, Chow menyifatkan memorandum persefahaman (MoU) yang diumumkan antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran untuk menamatkan konflik antara kedua-dua negara itu, sebagai perkembangan positif yang dijangka memberi manfaat kepada ekonomi global termasuk Malaysia dan Pulau Pinang.
Beliau berkata konflik yang tercetus sebelum ini, telah memberi kesan ketara kepada pelbagai sektor ekonomi dunia termasuk bekalan tenaga, logistik, harga barangan dan rantaian bekalan global akibat ketidaktentuan geopolitik.
Pada Ahad lepas, Presiden AS Donald Trump mengumumkan bahawa satu perjanjian dengan Iran telah dimuktamad dan beliau mengarahkan pembukaan semula Selat Hormuz serta menarik balik sekatan oleh tentera laut AS.
-- BERNAMA