Skip to main content

Dunia

Konflik Asia Barat: Trump mahu ‘penyerahan tanpa syarat’ ketika serangan terus memuncak

Smoke rises following an explosion, amid the U.S.-Israeli conflict with Iran, in Tehran, Iran, March 6, 2026. Majid Asgaripour/WANA (West Asia News Agency) via REUTERS ATTENTION EDITORS - THIS PICTURE WAS PROVIDED BY A THIRD PARTY
Asap berkepul naik selepas satu letupan berlaku di Tehran, Iran, di tengah-tengah konflik antara Amerika Syarikat, Israel dan Iran. - Foto REUTERS

WASHINGTON: Konflik berskala besar antara Amerika Syarikat (AS), Israel dan Iran memasuki hari ketujuh dengan intensiti serangan yang terus meningkat.

Presiden AS Donald Trump menegaskan bahawa pentadbirannya tidak akan menerima sebarang rundingan damai melainkan Iran melakukan “penyerahan tanpa syarat”, satu pendirian yang meningkatkan ketegangan di seluruh rantau Asia Barat.

Advertisement

Dalam satu hantaran di platform Truth Social, Trump menulis bahawa “tiada perjanjian dengan Iran kecuali PENYERAHAN TANPA SYARAT”, sambil menambah bahawa AS dan sekutu-sekutunya akan terlibat dalam proses memilih “pemimpin yang HEBAT dan DAPAT DITERIMA” selepas Iran tunduk sepenuhnya.

Trump sebelum ini menyatakan hasrat untuk memainkan peranan dalam memilih pemimpin baharu Iran selepas serangan bersama AS-Israel menyebabkan kematian Pemimpin Agung Ayatollah Ali Khamenei pada 28 Februari.

Dalam satu sidang media, jurucakap White House Karoline Leavitt turut menjelaskan bahawa “penyerahan tanpa syarat” bermaksud keadaan di mana Iran tidak lagi memiliki keupayaan untuk mengancam AS, tanpa mengira sama ada negara itu membuat pengisytiharan rasmi.

Laporan antarabangsa menunjukkan bahawa beberapa kawasan strategik di Iran dan Lubnan terus dibedil oleh jet tempur Israel sejak Khamis malam hingga Jumaat.

Serangan tersebut menandakan “fasa baharu” dalam operasi ketenteraan gabungan AS-Israel.

Al Jazeera melaporkan bahawa letupan besar menggegarkan beberapa lokasi di Iran ketika perang memasuki hari ketujuh, dengan angka korban mencecah sekurang-kurangnya 1,332 orang sejak serangan bermula pada Sabtu lalu.

Dua buah sekolah turut dilaporkan musnah akibat serangan peluru berpandu di Parand, barat daya Tehran.

Iran pula terus melancarkan serangan balas ke atas beberapa negara Teluk termasuk UAE, Qatar dan Bahrain, manakala Tel Aviv menjadi sasaran gabungan dron dan peluru berpandu pada Khamis malam.

Sumber keselamatan AS mengesahkan kepada CBS News bahawa Rusia memberikan maklumat risikan mengenai kedudukan tentera AS kepada Iran, sekali gus menambah kerumitan konflik.

Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), António Guterres, memberi amaran bahawa keganasan di Asia Barat “boleh memuncak di luar kawalan sesiapa”, sambil menyeru semua pihak menamatkan pertempuran dan kembali ke meja diplomasi.

Walaupun tekanan ketenteraan semakin meningkat, Iran menolak tuntutan Trump.

Menteri Luar Iran Abbas Araghchi sebelum ini menegaskan bahawa negara tersebut bersedia menghadapi pencerobohan darat, dan tidak akan tunduk kepada syarat AS.

Seorang pegawai keselamatan Iran turut menafikan dakwaan serangan dron ke atas Azerbaijan, menegaskan bahawa Iran masih mengamalkan “kawalan diri” terhadap negara jiran, namun tahap kesabaran bergantung kepada tindakan pihak lawan.

 

Must Watch Video