WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, terus menukar-tukar jangkaan masa berakhirnya konflik dengan Iran, sekali gus mencetuskan kekeliruan mengenai hala tuju dan matlamat sebenar perang berkenaan.
Sejak konflik itu tercetus, Trump beberapa kali mengemukakan tempoh berbeza mengenai bila ia akan berakhir.
Advertisement
Pada peringkat awal, beliau menyatakan perang itu hanya akan berlangsung beberapa hari.
Kenyataan itu kemudian berubah kepada beberapa minggu, tidak lebih daripada tiga minggu, sebelum meningkat kepada lima minggu.
Dalam beberapa hari kebelakangan ini, satu perkataan kerap diulang oleh Trump, “tidak lama lagi”.
Istilah itu digunakan bagi merujuk sama ada kepada pengakhiran konflik atau niat beliau untuk menamatkannya, namun tanpa sebarang penjelasan terperinci.
Perubahan garis masa yang berulang-ulang itu menimbulkan persoalan mengenai kejelasan status konflik berkenaan, termasuk sama ada wujud perancangan jangka panjang ketika perang itu dimulakan.
Penganalisis dan sebahagian rakyat AS mula mempersoalkan sama ada pihak pentadbiran benar-benar mempunyai pelan penamat atau “jalan keluar” sebelum konflik tercetus.
Antara persoalan yang sering dibangkitkan ialah mengapa perang dimulakan tanpa kefahaman jelas tentang bagaimana ia akan berakhir, serta tanpa mekanisme yang nyata untuk menamatkannya.
Dalam pada itu, Trump kelihatan berusaha membina laluan keluar daripada konflik dengan terus menegaskan bahawa rundingan akan diadakan dan bahawa beliau yakin perbincangan itu akan berjaya.
Namun, kenyataan tersebut dibuat walaupun setakat ini tiada petunjuk jelas yang menyokong jangkaan tersebut.
Ketidaktentuan ini terus menambah kebimbangan dalam kalangan pemerhati politik dan masyarakat umum, ketika konflik berlarutan tanpa garis masa tetap, serta dengan diplomasi yang masih belum menunjukkan kemajuan nyata.