Skip to main content

Malaysia

Karnival Kerjaya Premium PERKESO tawar 10,000 peluang kerja, tangani ketidaktentuan global

51735803655_PERKESOperkesolog.jpg
Laporan kehilangan lebih 5,000 pekerjaan dalam kalangan rakyat Malaysia bulan lalu tidak boleh dipandang ringan.

KUALA LUMPUR: Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) mempergiat langkah memperkukuh ketahanan pasaran buruh negara menerusi pelaksanaan intervensi awal, susulan kebimbangan terhadap kesan ketegangan geopolitik di Asia Barat.
 

Menterinya, Datuk Seri Ramanan Ramakrishnan berkata, walaupun tiada pembuktian langsung, laporan kehilangan lebih 5,000 pekerjaan dalam kalangan rakyat Malaysia bulan lalu tidak boleh dipandang ringan.
 

Advertisement

Beliau menegaskan, kestabilan sosioekonomi rakyat perlu terus diperkukuh melalui penawaran peluang pekerjaan premium atau berkualiti tinggi, selain meningkatkan mobiliti tenaga kerja.


“Berdasarkan statistik Pertubuhan Keselamatan Sosial, terdapat peningkatan permohonan faedah kehilangan pekerjaan khususnya di Selangor dan Kuala Lumpur.


“Peningkatan 18.3 peratus menyaksikan sebanyak 14,194 permohonan direkodkan pada suku pertama tahun ini, berbanding 11,994 pada suku keempat 2025,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
 

Sehubungan itu, KESUMA melalui PERKESO akan menganjurkan Karnival Kerjaya Premium MYFutureJobs 2026 selama dua hari bermula Sabtu ini di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, dengan sasaran lebih 10,000 pencari kerja.
 

Karnival itu menawarkan kira-kira 10,000 peluang pekerjaan dengan gaji antara RM3,000 hingga RM15,000, melibatkan penyertaan 100 majikan termasuk syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC).
 

Antara yang terlibat ialah Permodalan Nasional Berhad, Tenaga Nasional Berhad, Agrobank dan MIMOS Berhad.
 

Selain itu, penyertaan turut melibatkan institusi kewangan utama seperti Malayan Banking Berhad, CIMB Group dan Bank Islam Malaysia Berhad.
 

Penganjuran di KLCC ini menjadi pembuka tirai kepada siri program nasional lain termasuk Sambutan Hari Pekerja pada 1 Mei 2026 serta Karnival LINDUNG Kerjaya di Kota Kinabalu, Sabah pada 9 Mei depan.
 

Mengulas lanjut, Ramanan berkata sektor pengangkutan dan logistik merupakan antara yang paling terkesan ketika ini, susulan pengecilan tenaga kerja dan pelaksanaan Skim Pemisahan Sukarela (VSS).
 

Katanya, konflik di Asia Barat turut memberi kesan kepada rantaian bekalan termasuk diesel, sekali gus meningkatkan kos operasi industri.
 

“Dalam usaha mengurangkan kos, saya bimbang majikan mengambil langkah menamatkan perkhidmatan pekerja. Justeru, intervensi segera dilaksanakan melalui agenda reformasi pasaran buruh yang lebih dinamik,” katanya.
 

Tambah beliau, fokus turut diberikan kepada sektor berimpak tinggi seperti penjagaan kesihatan, teknologi maklumat dan kewangan, selain penekanan terhadap transformasi struktur kerja.
 

Dalam pada itu, beliau menegaskan KESUMA melalui PERKESO komited mempromosikan Aturan Kerja Fleksibel (AKF) serta memperluas akses pekerjaan kepada golongan Orang Kurang Upaya (OKU).
 

Usaha itu, katanya, dijangka mampu mengurangkan ketidakpadanan pekerjaan serta mempercepat penempatan semula pekerja terjejas ke dalam sektor lebih stabil dan produktif.

Must Watch Video