Skip to main content

Dunia

Konflik Asia Barat: UAE pintas peluru berpandu, serangan dron cetus kebakaran tapak minyak

BREAKING: Iranian drones have struck the Fujairah Oil Industry Zone in the UAE. Major fire now burning on site._X @MarioNawfal
Dron Iran melancarkan serangan ke atas Zon Industri Minyak Fujairah di Emiriah Arab Bersatu (UAE). - Foto X/Mario Nawfal

ABU DHABI: Pertahanan udara Emiriah Arab Bersatu (UAE) memintas peluru berpandu balistik, peluru berpandu kruis dan dron yang dilancarkan dari Iran pada Isnin, ketika ketegangan di Teluk meningkat.

Kementerian Pertahanan UAE berkata tiga peluru berpandu berjaya dipintas, manakala satu lagi jatuh ke laut.

Advertisement

Sebuah dron Iran pula mencetuskan kebakaran di sebuah kemudahan minyak di Fujairah, namun api berjaya dikawal dengan pantas oleh pasukan pertahanan awam.

Pejabat Media Fujairah memaklumkan tiga warga India cedera sederhana dalam kejadian itu dan telah dibawa ke hospital.

Serangan itu mengakhiri tempoh ketenangan sementara susulan gencatan senjata antara Washington dan Tehran yang bermula pada 8 April lalu.

Seorang pegawai kanan tentera Iran berkata Tehran tidak merancang menyerang UAE, namun agensi berita Tasnim memetik sumber tentera Iran memberi amaran bahawa kepentingan UAE akan menjadi sasaran sekiranya tindakan “tidak bijak” diambil terhadap Iran.

Ketegangan terus memuncak apabila Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump mengumumkan operasi ketenteraan bagi membantu kapal komersial keluar dari Selat Hormuz yang dikenakan sekatan.

Media Iran melaporkan tentera laut negara itu melepaskan tembakan amaran ke arah kapal perang AS berhampiran selat tersebut.

UAE turut mengecam serangan dron Iran ke atas kapal tangki minyak Barakah berhampiran pantai Oman.

Syarikat minyak nasional ADNOC berkata tiada kecederaan dilaporkan dan kapal itu tidak membawa muatan.

Serangan terbaharu ini menerima kecaman antarabangsa.

Jordan dan Bahrain menyifatkannya sebagai pelanggaran gencatan senjata dan ancaman kepada kestabilan serantau, manakala Presiden Suruhanjaya Eropah Ursula von der Leyen mengecam tindakan itu sebagai pelanggaran kedaulatan dan undang-undang antarabangsa.

Kesatuan Eropah menegaskan komitmen untuk bekerjasama dengan rakan antarabangsa bagi meredakan ketegangan dan mencari penyelesaian diplomatik terhadap konflik tersebut.

 

Must Watch Video