KUALA LUMPUR: Majlis Perundingan Pimpinan Kerajaan Perpaduan antara UMNO dan Pakatan Harapan mencapai kata sepakat untuk mengekalkan kerjasama Kerajaan Perpaduan di Negeri Sembilan demi kestabilan negeri dan kesejahteraan rakyat.
Menerusi kenyataan yang dikeluarkan bersama oleh Setiausaha Agung Pakatan Harapan, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, dan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki hari ini, kedua-dua pihak bersetuju bahawa mereka akan memastikan apa jua keputusan Kerajaan Negeri Sembilan yang boleh mencetuskan sebarang bentuk sensitiviti dan membuka ruang perselisihan mesti segera dirujuk kepada majlis berkenaan.
Advertisement
“Majlis Perundingan Pimpinan UMNO-Pakatan Harapan menghormati pendirian yang telah diputuskan oleh kedua-dua Biro Politik masing-masing dalam menyentuh isu di Negeri Sembilan,” ujar kenyataan tersebut.
Sebelum ini, Asyraf berkata mesyuarat tersebut diputuskan susulan resolusi Biro Politik UMNO yang mahu kedua-dua pihak duduk berbincang bagi menyelesaikan isu melibatkan dasar serta kedudukan parti dalam kerajaan negeri.
Kemelut di negeri berkenaan tercetus susulan penarikan sokongan 14 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) yang menyatakan hilang kepercayaan terhadap kepimpinan Datuk Seri Aminuddin Harun sebagai Menteri Besar.