DUNIA
Konflik Iran-Israel: Ribuan penumpang terjejas akibat penutupan ruang udara

Banyak syarikat penerbangan antarabangsa seperti Emirates, Lufthansa dan United membatalkan atau mengubah laluan penerbangan susulan konflik. -Foto Flightradar24
NEW YORK: Ribuan penumpang mengalami gangguan perjalanan selepas ruang udara Iran, Iraq, Israel dan Jordan ditutup susulan serangan peluru berpandu di antara Iran dan Israel pada awal pagi Jumaat dan Sabtu.
Ringkasan AI
- Ribuan penumpang terjejas selepas ruang udara Iran, Iraq, Israel dan Jordan ditutup susulan serangan peluru berpandu antara Iran dan Israel pada awal pagi Jumaat dan Sabtu.
- Banyak syarikat penerbangan antarabangsa seperti Emirates, Lufthansa dan United membatalkan atau mengubah laluan penerbangan, manakala lapangan terbang utama seperti Ben Gurion dan Mehrabad turut ditutup sementara.
- Kedua-dua negara saling membalas serangan melibatkan lebih 150 peluru berpandu dan ratusan dron, menyebabkan kecederaan dan kematian serta meningkatkan ketegangan serantau yang memberi kesan kepada keselamatan dan ekonomi global.
Syarikat penerbangan Israel, El Al dan Israir, turut mengalihkan pesawat mereka keluar dari negara itu sebagai langkah berjaga-jaga.
Menurut laporan, Iran menutup Lapangan Terbang Mehrabad sehingga jam 1.30 pagi Sabtu waktu tempatan, sementara Syria menutup ruang udaranya hingga jam 3 petang Jumaat sebagai langkah keselamatan.
Jordan hanya membenarkan laluan tertentu dengan kebenaran khas, manakala Iraq menggantung semua trafik udara pada pagi Jumaat, menjejaskan laluan sibuk antara Eropah dan Asia yang melalui sempadan timur negara itu.
Serangan peluru berpandu ini berlaku selepas Israel melancarkan operasi ketenteraan yang menyasarkan lebih 100 lokasi strategik di Iran, termasuk fasiliti nuklear dan pangkalan tentera.
Sebagai tindak balas, Iran melancarkan lebih 150 peluru berpandu balistik serta ratusan dron ke wilayah Israel.
Sebahagian besar serangan itu berjaya dipintas oleh sistem pertahanan Iron Dome dan bantuan tentera Amerika Syarikat, namun lebih 20 orang cedera dan sekurang-kurangnya seorang maut dalam serangan balas tersebut.
Konflik ini meningkatkan ketegangan di Timur Tengah, dengan beberapa negara mengambil langkah berjaga-jaga bagi mengelakkan kesan sampingan terhadap keselamatan dan ekonomi global.

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami