WAKIL Kremlin, Dmitry Kozak berkata pada Rabu, tafsiran yang berbeza-beza mengenai perjanjian damai Minsk 2015 menjadi batu penghalang utama dalam perbincangan mengenai konflik pemisah di Ukraine.

Perkara itu disuarakan dalam pertemuan selama lebih lima jam di Paris, bagi membincangkan konflik itu, antara wakil dari Rusia, Ukraine, Perancis dan Jerman.

Walaupun tidak menemui jalan penyelesaian, mereka dikatakan akan mengadakan perbincangan baru dalam tempoh dua minggu lagi, kali ini di Berlin.

Kozak menegaskan, Rusia tidak terlibat dalam konflik itu dan menekankan bahawa, Ukraine keberatan untuk mengadakan perbincangan dengan puak pemisah seperti yang ditetapkan dalam dokumen Minsk.

Di bawah perjanjian Minsk, Ukraine bersetuju melaksanakan pembaharuan politik, manakala Rusia bersetuju menamatkan sokongannya kepada pemberontak pemisah pro-Rusia.