DUNIA
Konflik Thai-Kemboja: Beberapa persetujuan penting dicapai - Anwar

Anwar berkata Malaysia turut diberi kepercayaan untuk terus menerajui rundingan damai dan memantau situasi di sempadan melalui peranan Panglima Angkatan Tentera Malaysia, Jeneral Tan Sri Mohd Nizam Jaffar. - Sumber foto Pejabat Perdana Menteri
PUTRAJAYA: Thailand dan Kemboja mencapai beberapa persetujuan penting dalam usaha mengekalkan gencatan senjata di sempadan kedua-dua negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara tersebut dinyatakan hasil pertemuan wakil kedua-dua negara tersebut bersama beliau di Perdana Putra pada Khamis pagi.
"Alhamdulillah, kedua-dua negara turut mencapai beberapa persetujuan penting, termasuk komitmen untuk mematuhi sepenuhnya gencatan senjata tanpa sebarang bentuk serangan, tidak menambah kekuatan atau mengubah penempatan tentera, mengelak tindakan provokatif, serta menjamin perlindungan terhadap orang awam dan infrastruktur awam," kongsi beliau di media sosial, pada Khamis.
Pertemuan disertai Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pertahanan Kemboja, Jeneral Tea Seiha dan Pemangku Menteri Pertahanan Thailand, Jeneral Nattaphon Narkphanit itu berlangsung lebih 30 minit dan disifatkan sebagai amat bermakna dalam menjamin keamanan serantau.Mengulas lanjut, Anwar berkata Malaysia turut diberi kepercayaan untuk terus menerajui rundingan damai dan memantau situasi di sempadan melalui peranan Panglima Angkatan Tentera Malaysia, Jeneral Tan Sri Mohd Nizam Jaffar.
Cadangan penempatan Pasukan Pemerhati ASEAN (ASEAN Observer Team - AOT) turut dibincangkan bagi membantu usaha pemantauan, bantuan kemanusiaan dan pengurusan perubatan di kawasan sempadan.
“Saya dan seluruh pasukan Malaysia akan terus berusaha menyokong proses damai ini atas kepercayaan bahawa keamanan yang berkekalan hanya boleh dicapai melalui dialog, persahabatan dan keikhlasan,” kata Perdana Menteri.
Gencatan senjata di sempadan Thailand-Kemboja mula berkuat kuasa sejak 28 Julai lalu.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami