Skip to main content

Dunia

Korban banjir Jepun meningkat kepada 8, ribuan penumpang terkandas di lapangan terbang

[TB]_flooded areas heavy rain Chiba Prefecture, Japan_REUTERS
Pihak berkuasa mengesahkan lapan mangsa maut ditemukan di beberapa lokasi termasuk Chiba, Kashiwa, Ichikawa, Sakura dan Yachiyo, dengan sebahagian daripada mereka terperangkap di dalam kenderaan yang ditenggelami air banjir. -Foto Reuters
Advertisement

TOKYO: Sekurang-kurangnya lapan mangsa disahkan maut manakala ribuan pengembara terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Narita susulan hujan lebat luar biasa yang mencetuskan banjir kilat dan tanah runtuh di timur Jepun pada Jumaat.

Bencana itu berlaku ketika Jepun menyambut perayaan Bon, antara minggu cuti paling sibuk setiap tahun, sekali gus menjejaskan rangkaian pengangkutan utama yang menghubungkan Tokyo dan kawasan sekitarnya.

Menurut media tempatan, Prefektur Chiba merupakan kawasan paling terjejas selepas menerima lebih 360 milimeter hujan dalam tempoh 24 jam, iaitu paras yang melepasi rekod terdahulu bagi kawasan berkenaan.

Pihak berkuasa mengesahkan lapan mangsa maut ditemukan di beberapa lokasi termasuk Chiba, Kashiwa, Ichikawa, Sakura dan Yachiyo, dengan sebahagian daripada mereka terperangkap di dalam kenderaan yang ditenggelami air banjir.

Bencana itu turut menyebabkan lebih 20,000 isi rumah terputus bekalan elektrik, manakala amaran kecemasan tertinggi Tahap 5 dikeluarkan bagi menggesa lebih 230,000 penduduk berpindah ke kawasan selamat.

Di Lapangan Terbang Antarabangsa Narita, kira-kira 7,000 penumpang terpaksa bermalam selepas perkhidmatan jalan raya dan rel ke Tokyo terganggu akibat banjir.

Pihak lapangan terbang mengagihkan air minuman, makanan ringan dan beg tidur kepada penumpang yang terkandas.

Kira-kira 4,000 pengembara lain turut terkandas di Stesen Soga, menyebabkan Pasukan Pertahanan Diri Darat Jepun (GSDF) dikerah untuk membantu operasi pemindahan dan penyaluran bantuan kecemasan.

Gabenor Chiba, Toshihito Kumagai, menyifatkan bencana berkenaan sebagai kejadian luar biasa yang tidak pernah dialaminya sepanjang menguruskan pelbagai insiden bencana sebelum ini.

Setakat petang Jumaat, amaran cuaca di beberapa kawasan telah diturunkan, manakala sebahagian rangkaian pengangkutan mula beroperasi semula secara berperingkat.

Namun kelewatan penerbangan dan kesesakan trafik masih dilaporkan berlaku di beberapa lokasi.

Must Watch Video

Advertisement