PUTRAJAYA: Malaysian Research Accelerator for Technology and Innovation (MRANTI) menyasarkan penyelesaian terpilih daripada I-Nation 2026 dibawa ke peringkat projek rintis dalam tempoh enam hingga 12 bulan sebelum dinilai untuk penggunaan lebih meluas.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Chang Lih Kang berkata pendekatan itu menyokong Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) yang meletakkan inovasi sebagai salah satu pemacu pertumbuhan negara.
“Bagi kita, ini bermakna lebih banyak hasil penyelidikan perlu digunakan untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh rakyat dan industri.
“I-Nation ini menyokong hala tuju ini dengan menghimpunkan kerajaan, industri, penyelidik dan masyarakat untuk mencari penyelesaian kepada cabaran utama negara.
“Ukuran kejayaan kita ialah sejauh mana penyelesaian itu dapat diuji dan akhirnya digunakan oleh rakyat dan industri,” katanya ketika ditemui pada I-Nation 2026 di Le Méridien Putrajaya pada Rabu.
Bertemakan Mission to Action, penganjuran kali ini beralih daripada format persidangan kepada lima sesi kerja atau Mission Labs yang menghimpunkan kerajaan, industri, penyelidik, pengawal selia dan penyedia pembiayaan.
Kelima-lima sesi itu memfokuskan penuaan sihat, keterjaminan makanan, industri sawit, ekonomi altitud rendah yang melibatkan dron, serta mobiliti autonomi.
Tiga bidang pertama menyokong inisiatif nasional terpilih daripada tujuh Mission-Oriented Initiatives (MOI) yang diluluskan Majlis Sains Negara, manakala dua lagi menumpukan peluang baharu yang didorong permintaan industri.
Bagi menggerakkan tindakan susulan, MRANTI menyasarkan pembentukan Execution Pods, iaitu pasukan pelaksana yang akan membawa penyelesaian terpilih ke peringkat projek rintis.
Dapatan projek itu akan digunakan untuk menilai prestasi operasi, daya maju kewangan dan kesan sosial sebelum sesuatu penyelesaian dipertimbangkan untuk penggunaan lebih meluas.
Menurut rumusan awal MRANTI, sesi Penuaan Sihat mengenal pasti tiga bidang tumpuan, iaitu saringan awal dan pencegahan, penjagaan susulan di rumah selepas pesakit keluar dari hospital serta kesinambungan rawatan daripada penjagaan tertiari ke penjagaan primer.
Sesi Keterjaminan Makanan pula membincangkan lebih 10 projek berpotensi, termasuk penggunaan teknologi pertanian, pembaharuan dasar dan penyesuaian beberapa elemen model industri sawit.
Bagi industri sawit, empat bidang kerjasama berpotensi dikenal pasti, meliputi integrasi ternakan lembu di ladang, produk bioekonomi, cadangan konsortium prapembiakbakaan dan penyepaduan data merentas rantaian nilai.
Sesi Ekonomi Altitud Rendah meneliti penggunaan dron dalam pertanian, operasi kargo luar pesisir berkapasiti tinggi dan cadangan ujian operasi untuk menilai keperluan kawal selia.
Dalam bidang Mobiliti Autonomi, tiga daripada empat cadangan pasukan pelaksana disenarai pendek untuk penilaian komersial.
Perkhidmatan bas pengantara merupakan antara empat cadangan yang dikenal pasti dalam sesi berkenaan.
Dalam perkembangan berkaitan, MRIC Healthcare Sdn Bhd dikenal pasti sebagai rakan peneraju pertama bagi misi penuaan sihat, dengan perjanjian kerjasama bersama MRANTI sedang dimuktamadkan.
Lih Kang berkata, kerjasama itu membolehkan pembangunan projek rintis diselaraskan dengan keperluan industri kesihatan.
“Melalui kerjasama tersebut, kepakaran kesihatan, keperluan industri dan penyelesaian teknologi dapat diselaraskan untuk membangunkan projek rintis yang relevan dan boleh diuji dalam persekitaran sebenar,” tambahnya.
Pada program sama, MRIC Healthcare bertukar memorandum persefahaman (MoU) dengan empat rakan, iaitu Academy of Medicine of Malaysia, ACT4Health Senior Clinic Sdn Bhd, Sena Healthcare dan Management and Science University (MSU).
Kerjasama berkenaan meliputi saringan dan pencegahan penyakit, latihan penjaga, perkhidmatan sokongan pesakit serta penyelidikan kecerdasan buatan (AI) dalam sains kesihatan dan pembangunan aplikasi perubatan bersepadu.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MRANTI, Ashran Datuk Ghazi berkata agensi itu menyelaraskan kerjasama antara penyelidik, industri, pengawal selia dan penyedia pembiayaan supaya projek rintis dapat dilaksanakan dengan tempoh serta hasil yang dipersetujui bersama.
“Dalam semangat kerjasama ini, MRANTI akan terus menghimpunkan rakan yang sesuai di dalam dan luar negara, supaya idea yang baik berpeluang membawa perubahan.
“Inspirasi kami mudah: apabila kita bekerjasama dengan matlamat yang sama, idea yang baik boleh dibawa lebih jauh.
“Malaysia mempunyai bakat, penyelidikan dan teknologi yang kukuh,” ujarnya.
Berlandaskan pengalaman Malaysia menerusi National Technology and Innovation Sandbox (NTIS), forum itu membuka ruang untuk memperkukuh kerjasama dalam pengujian, pengesahan dan pengkomersialan teknologi merentas sempadan.