Skip to main content

Dunia

Korban letupan kilang keluli di Turkiye meningkat kepada 16

Asap menjulang ke udara susulan satu letupan di kilang besi dan keluli Habas di Izmir, Turkiye, pada Isnin, 9 November 2026.  - Gambar AP
Asap menjulang ke udara susulan satu letupan di kilang besi dan keluli Habas di Izmir, Turkiye, pada Isnin, 9 November 2026. - Gambar AP
Advertisement

ISTANBUL: Jumlah kematian akibat letupan di sebuah kilang besi dan keluli di barat Turkiye meningkat kepada 16 orang, berbanding angka awal 10 yang dilaporkan pihak berkuasa sejurus selepas kejadian.

Presiden Recep Tayyip Erdogan berkata, 13 lagi mangsa cedera dalam insiden yang berlaku di kilang HABAS Demir Celik di daerah Aliaga, wilayah Izmir.

Letupan berlaku sekitar tengah hari Isnin di kemudahan pengeluaran besi dan keluli berkenaan yang terletak kira-kira 60 kilometer di utara bandar pelabuhan Izmir.

Advertisement

Menurut siasatan awal, kejadian dipercayai berlaku apabila sebuah kren siling terputus lalu terjatuh ke dalam relau arka yang digunakan dalam proses penuangan keluli cair, sekali gus mencetuskan letupan kuat.

Rakaman di lokasi menunjukkan kepulan asap dan debu tebal menjulang ke udara sejurus selepas kejadian, manakala kebakaran turut dilaporkan berlaku dalam kawasan kilang.

Advertisement

Mangsa yang cedera dikejarkan ke beberapa hospital berhampiran untuk menerima rawatan. Sekurang-kurangnya tiga daripada mereka dilaporkan berada dalam keadaan serius.

Pasukan mencari dan menyelamat pula terus menjalankan operasi bagi mengesan pekerja yang dipercayai masih terperangkap di bawah runtuhan susulan letupan itu.

Sebelum ini, saksi menggambarkan letupan tersebut seperti gempa bumi apabila gegaran kuat dirasai di kawasan sekitar kilang.

Pihak berkuasa turut memaklumkan, insiden berlaku ketika kerja-kerja penyelenggaraan dijalankan di fasiliti berkenaan.

Dalam pada itu, Erdogan mengarahkan siasatan menyeluruh dijalankan bagi menentukan punca sebenar tragedi serta mengenal pasti sama ada wujud unsur kecuaian.

"Kami akan menentukan bagaimana dan mengapa insiden ini berlaku, sama ada terdapat kecuaian dan siapa yang perlu bertanggungjawab," katanya selepas mesyuarat Kabinet.

Tragedi itu sekali lagi mencetuskan kebimbangan terhadap aspek keselamatan di sektor industri berat Turkiye, khususnya melibatkan operasi pengeluaran keluli dan besi berskala besar. - Agensi

Must Watch Video

Advertisement