SEOUL: Korea Selatan dilaporkan bercadang membawa masuk kira-kira 110,000 pekerja asing untuk bekerja di ladang dan kilang di negara itu, tahun ini.

Memetik laporan CNA, sesetengah sektor perniagaan lain juga dilaporkan memerlukan lebih banyak lagi pekerja untuk memastikan operasi lebih lancar.

Ini kerana beberapa sektor lain menghadapi kekurangan tenaga kerja, kerana ramai anak muda Korea Selatan menolak pekerjaan yang dianggap kotor dan berbahaya.

Dalam tinjauan yang dianjurkan Persekutuan Perusahaan Korea baru-baru ini, kira-kira 40 peratus daripada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) berkata, mereka tidak fikir kerajaan memahami sepenuhnya masalah itu.

Tambah mereka, seramai 110,000 pekerja asing baharu yang akan dibawa masuk tahun ini adalah jauh daripada mencukupi untuk menutup jurang buruh.

Tambah pemerhati, tanpa pekerja asing ini, beberapa ladang dan kilang Korea Selatan bakal berdepan ketiadaan pekerja.

Pemilik ladang rumah hijau di Pocheon, Kim Jang-yeon berkata, pekerja asing mendapat permintaan tinggi.

“Ramai pekerja asing diperlukan. Saya juga mengambil pekerja tempatan semasa musim sibuk bertani. Mereka menyumbang hanya kira-kira 20 peratus daripada semua pekerja di ladang kami.

“Baki 80 peratus sebenarnya adalah pekerja asing dan hasil pertanian dihasilkan oleh mereka,” kata Kim.

Seorang pekerja Kemboja yang telah bekerja di ladang itu selama kira-kira tujuh tahun berkata pekerjaan membolehkan dia menghantar pulang kira-kira AS$1,000 (RM4,245.50) setiap bulan.

Sehubungan itu, apabila Korea Selatan semakin bergantung kepada pekerja asing, layanan terhadap kumpulan ini terus mendapat perhatian lebih dekat.