Korea Selatan, Jepun tegaskan semula kerjasama keselamatan bersama AS

Jepun menegaskan, Korea Selatan merupakan negara jiran penting serta rakan kerjasama dalam menghadapi pelbagai cabaran antarabangsa.
SEOUL: Ketua pertahanan Korea Selatan dan Jepun bertemu di Malaysia pada Sabtu dan menegaskan semula kepentingan kerjasama keselamatan tiga hala bersama Amerika Syarikat (AS) susulan ancaman nuklear dan peluru berpandu Korea Utara yang semakin meningkat, menurut Kementerian Pertahanan.
Menurut Agensi Berita Yonhap, Menteri Pertahanan, Ahn Gyu-back mengadakan perbincangan dengan Menteri Pertahanan Jepun yang baharu dilantik, Shinjiro Koizumi, di luar Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN (ADMM) dan ADMM-Plus di Kuala Lumpur.
Ahn mengucapkan tahniah atas pelantikan Koizumi dan menekankan kepentingan penyelarasan serta kerjasama dua hala bagi menangani ketidaktentuan geopolitik dan krisis keselamatan yang kompleks dihadapi kedua-dua negara.
Sebagai respons, Koizumi menegaskan bahawa Korea Selatan merupakan negara jiran penting serta rakan kerjasama bagi Jepun dalam menghadapi pelbagai cabaran yang dihadapi masyarakat antarabangsa.
Kedua-dua menteri bersetuju untuk meneruskan usaha memperkukuh hubungan pertahanan dua hala mereka secara berorientasikan masa depan, menurut kementerian itu.
Pertemuan bersemuka pertama mereka itu diadakan ketika Korea Utara terus membangunkan senjata nuklear dan peluru berpandu, termasuk memperkenalkan peluru berpandu balistik antara benua baharu Hwasong-20 dan melancarkan beberapa peluru berpandu jarak dekat pada Oktober.
Sementara itu, Ahn menekankan usaha Korea Selatan ke arah penyahnuklearan dan mewujudkan keamanan di Semenanjung Korea semasa perhimpunan menteri pertahanan berkenaan, sambil menyeru usaha bersama antarabangsa bagi mencapai matlamat tersebut.
"Kemampuan nuklear dan peluru berpandu Korea Utara yang semakin maju serta pemodenan sistem senjata konvensionalnya merupakan cabaran serius terhadap keamanan dan kestabilan serantau serta terhadap rejim antarabangsa bagi pencegahan penyebaran senjata.
"Bukan sahaja Korea Selatan dan Korea Utara, tetapi juga negara berdekatan termasuk China serta masyarakat antarabangsa perlu bekerjasama untuk mewujudkan keamanan di Semenanjung Korea," kata Ahn dalam ucapannya.
Beliau berkata, Korea Selatan akan melaksanakan pendekatan "dua hala" dalam menangani Korea Utara dengan mengekalkan keupayaan cegah rintang kukuh berdasarkan postur pertahanan gabungan Korea Selatan-AS, di samping berusaha meredakan ketegangan ketenteraan antara kedua-dua Korea dan membina kepercayaan, menurut kementerian itu.
Ahn turut berikrar untuk memperluas kerjasama dengan negara anggota ASEAN serta menyumbang kepada keamanan dan kestabilan serantau melalui peningkatan pertukaran personel dan latihan, serta memperkukuh kerjasama dalam industri dan teknologi pertahanan.
Selain pertemuannya dengan Koizumi, Ahn turut mengadakan perbincangan dua hala dengan rakan sejawatnya dari Australia, China, Malaysia dan Thailand.
Dalam pertemuan dengan Menteri Pertahanan China, Dong Jun, Ahn menggesa China memainkan peranan "konstruktif" dalam mempromosikan keamanan dan kestabilan di Semenanjung Korea.
Menurut kementerian itu, beliau turut mengadakan pertemuan berasingan dengan Menteri Pertahanan Australia, Richard Marles; Menteri Pertahanan Malaysia, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Menteri Pertahanan Thailand, Nattaphon Narkphanit bagi meneroka cara memperkukuh kerjasama dalam bidang pertahanan dan industri pertahanan.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


