SEOUL: Korea Selatan pada Jumaat menaikkan tahap krisis penyakit penyakit kaki dan mulut (FMD) ke peringkat tertinggi di wilayah tengah dan akan melaksanakan langkah kuarantin yang dipertingkatkan untuk mencegah penularan penyakit haiwan itu.

Tahap amaran dinaikkan daripada "berhati-hati" kepada "serius" untuk bandar tengah Cheongju, wilayah Chungcheong Utara; daerah Jeungpyeong di wilayah sama; dan tujuh lagi wilayah bersebelahan, termasuk Daejeon, Sejong dan Cheonan, menurut Kementerian Pertanian, Makanan dan Hal Ehwal Luar Bandar.

Ia adalah kali pertama sejak Mac 2018 kerajaan menaikkan tahap amaran ke peringkat tertinggi, lapor Agensi Berita Yonhap.

Langkah itu dibuat ketika Korea Selatan melaporkan beberapa siri kes FMD di wilayah tengah baru-baru ini selepas mengesahkan satu kes awal bulan ini buat kali pertama dalam tempoh lebih empat tahun.

Sehingga awal Jumaat, negara itu mencatatkan 11 kes FMD di ladang tempatan, masing-masing sembilan di Cheongju dan dua di Jeungpyeong -- dengan yang terbaru dilaporkan di ladang lembu di Cheongju.

Pihak berkuasa menghantar pegawai ke ladang untuk kerja kuarantin dan pembasmian kuman bagi mencegah penularan penyakit itu dan semua lembu yang diternak akan dimusnahkan.

Selain itu, kerajaan selesai memberi vaksin kepada haiwan di ladang di sembilan bandar dan daerah dan menutup pasar serta kemudahan berkaitan daging lembu bagi mengawal penyakit FMD.

Pegawai kerajaan percaya peluang penyakit bawaan virus itu menular ke seluruh negara adalah rendah kerana pemberian vaksin sudah memadai walaupun penyakit itu masih boleh berlaku sekali sekala di kawasan tengah.

FMD yang mudah berjangkit serta mengakibatkan penyakit pada lembu, babi, kambing dan haiwan lain bagaimanapun tidak memberi kesan kepada manusia.

-- BERNAMA