SEOUL: Korea Utara melancarkan ujian peluru berpandu balistik yang lebih jauh berbanding sebelum ini, pada Selasa.

Ia dilancarkan berhampiran Jepun buat kali pertama dalam tempoh lima tahun sekaligus mendorong amaran diberikan kepada penduduk untuk berlindung.

Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden dan Perdana Menteri Jepun, Fumio Kishida yang bercakap melalui panggilan telefon mengutuk ujian itu sekeras-kerasnya.

Biden berkata, AS memberikan komitmen kukuh untuk menyokong dan mempertahankan Jepun.

Negara itu juga akan meminta Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bertemu secara terbuka pada Rabu untuk berbincang mengenai Korea Utara.

Ini merupakan peluru berpandu Korea Utara pertama yang dilancarkan mengikut laluan berkenaan sejak 2017.

Ia dianggarkan pada jarak 4,600 kilometer dan paling lama dilalui oleh peluru berpandu Korea Utara yang biasanya "dihalakan" tinggi ke angkasa untuk mengelak terbang melintasi negara jiran.

Sebagai tindak balas kepada ujian itu, pesawat pejuang AS dan Korea Selatan menjalankan latihan ketenteraan bersama.

Jepun memberi amaran kepada rakyatnya supaya berlindung dan menggantung beberapa perkhidmatan kereta api apabila peluru berpandu itu dilepaskan sebelum jatuh ke Lautan Pasifik.

Korea Utara menuduh AS dan sekutunya mengancamnya dengan latihan dan pembinaan pertahanan.

Korea Selatan juga berkata ia akan meningkatkan aset ketenteraannya dan meningkatkan kerjasama bersekutu.