Terkini: Kes Kematian Zara Qairina – Ikuti Perkembangan di Sini
DUNIA

Korea Utara pula cabut pembesar suara sempadan dalam usaha redakan ketegangan

Bernama 09/08/2025 | 09:40 MYT
Aktiviti tentera Korea Utara menanggalkan pembesar suara dikesan di beberapa kawasan barisan hadapan sejak pagi Sabtu. - AP
SEOUL: Korea Utara pada Sabtu mula menanggalkan beberapa pembesar suara yang dipasang di sepanjang sempadan untuk siaran propaganda terhadap Korea Selatan, lapor agensi berita Yonhap memetik Ketua Turus Bersama (JCS).

Langkah itu diambil beberapa hari selepas Korea Selatan selesai menanggalkan pembesar suara anti-Pyongyang miliknya di sempadan, susulan penggantungan siaran pada 11 Jun selaras dengan usaha Presiden Korea Selatan Lee Jae Myung untuk meredakan ketegangan.

"Aktiviti tentera Korea Utara menanggalkan pembesar suara dikesan di beberapa kawasan barisan hadapan sejak pagi Sabtu," kata JCS sambil menambah, pengesahan lanjut diperlukan untuk menentukan sama ada tindakan itu akan dilakukan di semua kawasan sempadan.

Korea Utara sejak sekian lama menentang siaran propaganda dan risalah anti-Pyongyang, yang dilihat sebagai ancaman kepada rejimnya.

Di bawah pentadbiran bekas presiden Yoon Suk Yeol, Korea Selatan menyambung semula kempen pembesar suara itu pada Jun tahun lalu buat kali pertama dalam tempoh enam tahun, selepas Pyongyang menghantar ribuan belon berisi sampah merentasi sempadan.

Sejak memegang jawatan pada Jun, Lee menghentikan siaran itu, menggesa kumpulan masyarakat sivil supaya berhenti menghantar risalah, serta menangguhkan kira-kira separuh daripada 40 latihan lapangan yang dirancang di bawah latihan tahunan Korea Selatan-AS Ulchi Freedom Shield yang dijadual bermula akhir bulan ini.

-- BERNAMA


#pembesar suara #sempadan #Korea Utara #propaganda #ketegangan