Koronavirus: Amerika bawa pulang rakyatnya dari Wuhan, China

Astro Awani
Januari 29, 2020 00:17 MYT
Papan tanda yang mengarahkan pelancong ke arah terminal utara di Lapangan Terbang Antarabangsa Ted Stevens Anchorage di Anchorage, Alaska, di mana pesawat yang membawa rakyat AS dari Wuhan, dijangka tiba, 28 Jan, 2020. (Foto AP)
AMERIKA Syarikat membawa pulang kira-kira 240 warganya yang kebanyakannya diplomat dan ahli keluarga mereka, dari Wuhan, China.
Pesawat yang disewa khas itu berlepas pada awal pagi Rabu waktu tempatan dan ketika ini sedang dalam perjalanan ke Amerika Syarikat.
Menurut kenyataan rasmi kerajaan Amerika Syarikat, pesawat berkenaan sebelum itu berhenti mengisi bahan api di Alaska sebelum meneruskan perjalanan ke California.
Dalam pada itu, pegawai-pegawai di Lapangan Terbang California sudah bersiap-sedia untuk menerima dan melakukan saringan kesihatan ke atas kesemua diplomat dan keluarga mereka sejurus tiba.
Mereka kemudian akan dikuarantin sementara dalam rumah masing-masing dalam tempoh dua minggu jika diperlukan.
"Kami sedang melakukan persediaan yang sewajarnya bagi menghadapi sebarang kemungkinan (kes)," ujar jurucakap San Bernardino, David Wert.
Setakat ini, angka korban akibat Koronavirus mencecah ratusan nyawa melibatkan warga China, manakala, 18 negara turut mencatatkan kes positif wabak berkenaan.
#Amerika Syarikat #California #China #diplomat #keluarga #kerajaan #kuarantin #novel koronavirus #pesawat #saringan kesihatan