ISTANBUL: Kira-kira 380 bayi baru lahir dan 4,600 wanita hamil yang hilang tempat tinggal di Semenanjung Gaza memerlukan rawatan perubatan, menurut Agensi Bantuan dan Kerja Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian Palestin di Asia Barat (UNRWA) pada Khamis.

Agensi PBB itu memaklumkan menerusi platform X bahawa pihaknya berupaya menyediakan rawatan selepas bersalin tetapi persekitaran di tempat perlindungan UNRWA tidak sesuai untuk bayi baru lahir.

Menurut Dana Penduduk PBB (UNFPA) terdapat sekitar 50,000 wanita hamil di Semenanjung Gaza dan lebih 180 bersalin setiap hari, lapor Agensi Anadolu.

Satu-satunya hospital khas untuk kanak-kanak di Gaza tidak lagi berfungsi

Hospital Kanak-Kanak Al-Rantisi di barat Gaza tidak lagi beroperasi pada Khamis selepas generatornya gagal berfungsi, menyebabkan nyawa 38 kanak-kanak Palestin yang menderita kegagalan buah pinggang di ambang bahaya.

"Seramai 38 kanak-kanak yang mengalami kegagalan buah pinggang tidak dapat menjalani dialisis selepas Hospital Al-Rantisi, berhenti beroperasi kerana kehabisan bahan api," kata jurucakap bagi Kementerian Kesihatan di Semenanjung Gaza, Ashraf Al-Qudra.

Terdahulu pada Khamis, Al-Qudra mengumumkan semua perkhidmatan perubatan untuk kanak-kanak di hospital dan di Hospital Al-Nasr dihentikan kerana masalah yang sama.

Bagaimanapun, unit rawatan rapi dan taska yang bergantung kepada generator yang lebih kecil masih beroperasi.

Sebahagian hospital di seluruh Gaza hentikan operasi

Awal minggu ini, Kementerian Kesihatan mengumumkan bahawa 18 daripada 35 hospital di seluruh Gaza tidak lagi beroperasi, manakala 71 peratus kemudahan penjagaan asas telah ditutup kerana kekurangan bahan api atau pengeboman Israel.

Dalam situasi ini, doktor terpaksa melakukan pembedahan tanpa bius terutama terhadap individu yang cedera dan wanita yang bersalin secara pembedahan.

Pada 24 Okt, Menteri Kesihatan Palestin Mai Alkaila mengumumkan sistem kesihatan di Semenanjung Gaza telah lumpuh.

"Bermakna mulai hari ini, semua yang cedera termasuk kanak-kanak, wanita dan warga emas tidak lagi mendapat rawatan manakala pesakit kanser tidak dapat dirawat atau menjalani sesi kemoterapi dan pesakit buah pinggang tidak dapat menjalani dialisis, sementara nyawa beratus-ratus bayi pramatang kini berada dalam bahaya," katanya.

Angka kematian terus meningkat

Sekurang-kurangnya 10,812 rakyat Palestin termasuk 4,412 kanak-kanak dan 2,918 wanita telah terbunuh manakala lebih 26,000 lagi cedera dalam serangan udara dan darat rejim Israel sejak 7 Okt.

Sementara itu, seramai 2,650 orang, termasuk 1,400 kanak-kanak dilaporkan terperangkap di bawah runtuhan, kata Al-Qudra.

"Pencerobohan Israel telah menyebabkan 195 pegawai perubatan maut dan 51 ambulans musnah," katanya.

Selain angka korban yang tinggi dan mereka yang hilang tempat tinggal terus meningkat, bekalan asas juga semakin berkurangan untuk 2.3 juta penduduk Gaza disebabkan pengepungan Israel.

-- BERNAMA