BEKAS bintang bola sepak, David Beckham pada Ahad menyerahkan akaun Instagramnya kepada seorang doktor di Ukraine, dalam usaha untuk memaparkan pengorbanan petugas perubatan yang menjaga pesakit di tengah-tengah pencerobohan Rusia.

Tindakan bekas kapten bola sepak England, yang merupakan Duta Muhibah UNICEF sejak 2005 itu, membolehkan Dr Iryna, ketua Pusat Perinatal Serantau di Kharkiv, berkongsi situasi semasa dengan 71.6 juta pengikut akaun berkenaan.

Dalam usaha yang turut mendapat kerjasama UNICEF itu, Dr Iryna, yang hanya dikenali dengan nama pertamanya, menyiarkan klip dan imej dari kemudahan di bandar kedua terbesar di Ukraine menerusi IG Story dan mendedahkan bagaimana perang telah menjejaskan peranan dan kerja pasukannya.

Iryna berkata dia kini bekerja 24 jam sehari, sambil menambah pasukannya "mungkin terpaksa mempertaruhkan nyawa sendiri kerana bekerja semasa konflik".

"Pada hari pertama perang, semua wanita hamil dan ibu dipindahkan ke ruang bawah tanah. Ia adalah tiga jam yang mengerikan.

"Malangnya, kami tidak boleh membawa bayi yang berada dalam unit rawatan rapi (ICU) ke ruang bawah tanah kerana mereka bergantung pada peralatan," tulisnya pada gambar seorang bayi baru lahir di ICU.

Beckham telah melancarkan rayuan kecemasan melalui  7 Fund For UNICEF untuk membantu memberikan bantuan kepada mereka yang terjejas di negara yang dilanda perang itu.

Bapa kepada empat anak itu menggesa pengikutnya untuk menderma kepada UNICEF, bagi membantu menyediakan keluarga terjejas akses kepada air bersih dan makanan, memastikan perkhidmatan perlindungan kanak-kanak diteruskan, dan menilai situasi pelarian di negara jiran.