Skip to main content

Dunia

Krisis tenaga: Bangladesh tutup universiti, laksana catuan bahan api

81719051586_dhaka.jpg
Selain menjimatkan tenaga, penutupan institusi pendidikan ini dijangka mengurangkan kesesakan lalu lintas yang menjadi punca pembaziran bahan api. -Gambar fail

DHAKA: Bangladesh mengarahkan penutupan semua universiti awam dan swasta serta melaksanakan catuan bahan api susulan krisis tenaga yang semakin meruncing berpunca daripada konflik di Asia Barat.

Langkah kecemasan itu turut menyaksikan cuti Aidilfitri dibawa lebih awal bermula Isnin sebagai usaha kerajaan mengurangkan penggunaan elektrik dan bahan api di seluruh negara.

Advertisement

Menurut pihak berkuasa, kampus universiti merupakan antara pengguna tenaga terbesar kerana melibatkan operasi dewan kediaman, bilik kuliah, makmal dan sistem pendingin udara.

“Keputusan ini diambil bagi mengurangkan penggunaan elektrik dan bahan api dengan mengambil kira situasi global semasa,” menurut arahan Kementerian Pendidikan Bangladesh yang diedarkan kepada pengurusan universiti.

Selain menjimatkan tenaga, penutupan institusi pendidikan ini dijangka mengurangkan kesesakan lalu lintas yang menjadi punca pembaziran bahan api.

Bangladesh kini berdepan tekanan hebat terhadap sistem bekalan kuasanya, khususnya apabila 95 peratus keperluan tenaga negara bergantung kepada import, yang terjejas selepas konflik di Asia Barat menjejaskan pasaran global.

Krisis semasa turut diperburuk oleh lonjakan harga minyak dunia melepasi AS$100 setong selepas serangan ke atas fasiliti minyak Iran, yang kini memasuki hari kesembilan.

Gangguan bekalan gas asli cecair (LNG) pula memaksa Bangladesh menghentikan operasi empat daripada lima kilang baja milik kerajaan bagi mengutamakan bekalan kepada loji janakuasa.

Must Watch Video