Kualiti udara Dhaka "sangat tidak sihat" selepas Delhi, Kolkata

Menurut indeks AQI, udara di bandar Dhaka diklasifikasikan sebagai "sangat tidak sihat", menimbulkan risiko kesihatan yang serius. - Unsplash
DHAKA: Dhaka, ibu kota Bangladesh yang sesak dengan penduduk, menduduki tempat ketiga antara bandar dengan kualiti udara paling buruk pada pagi Jumaat, mencatat skor Indeks Kualiti Udara (AQI) 235 pada 9 pagi 13 Nov, lapor United News of Bangladesh (UNB).
Menurut indeks AQI, udara di bandar itu diklasifikasikan sebagai "sangat tidak sihat", menimbulkan risiko kesihatan yang serius.
Kualiti udara yang buruk ini berlarutan selama beberapa hari, menimbulkan kebimbangan terhadap kesihatan penduduk.
Delhi dan Kolkata di India menduduki tempat pertama dan kedua dalam senarai itu dengan skor AQI masing-masing 386 dan 259.
Apabila nilai AQI bagi pencemaran partikel berada antara 50 hingga 100, kualiti udara dianggap "sederhana" dan individu sensitif biasanya dinasihatkan mengurangkan aktiviti luar yang berpanjangan. Antara 101 hingga 150, udara dianggap "tidak sihat bagi kumpulan sensitif".
Bacaan antara 150 hingga 200 adalah 'tidak sihat', antara 201 hingga 300 adalah "sangat tidak sihat", dan bacaan 301 ke atas dianggap "berbahaya", serta boleh membawa risiko kesihatan serius kepada penduduk.
AQI ialah indeks untuk melaporkan kualiti udara harian, memberikan informasi kepada orang ramai tentang tahap kebersihan atau pencemaran udara di sesebuah bandar dan kesan kesihatan yang mungkin timbul.
AQI di Bangladesh berdasarkan lima jenis pencemar: zarah terampai (PM10 dan PM2.5), NO2, CO, SO2 dan ozon.
Dhaka sudah lama berdepan masalah pencemaran udara. Kualiti udaranya biasanya menjadi tidak sihat pada musim sejuk dan bertambah baik ketika musim monsun.
Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), pencemaran udara dianggarkan meragut nyawa tujuh juta orang di seluruh dunia setiap tahun, kebanyakannya akibat peningkatan kematian disebabkan strok, penyakit jantung, penyakit pulmonari obstruktif kronik, kanser paru-paru dan jangkitan pernafasan akut.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


