CANSELOR Jerman Angela Merkel memberi isyarat kelonggaran peraturan kuarantin untuk warga Britain yang telah diberi vaksin sepenuhnya selepas pertemuan bersama Perdana Menteri Boris Johnson, pada Jumaat.

Isu sekatan perjalanan COVID-19 merupakan agenda utama Merkel, yang membuat lawatan terakhir ke Britain sebagai Canselor ketika mana berlaku lonjakan kes varian Delta di negara tersebut.

"Saya menjangkakan, pada masa akan datang, mereka yang telah menerima dua dos suntikan vaksin COVID-19 akan dapat kembali melakukan perjalanan, tanpa menjalani kuarantin," kata Merkel di kediaman Johnson di London pada Khamis.

Sementara itu, Johnson berkata, program vaksin Britain akan membolehkan warganya melakukan perjalanan ke luar negara dengan lebih luas tahun ini.

Walaupun Britain berharap dapat melonggarkan syarat kuarantin untuk penerima vaksin penuh, beberapa negara Eropah termasuk Jerman menetapkan tempoh kuarantin bagi ketibaan dari Britain tanpa mengira status vaksinasi.

Perkara itu menimbulkan ketegangan yang jelas di mana Merkel dan Johnson sendiri berselisih pendapat mengenai keputusan membenarkan orang ramai memasuki stadium bola sepak Wembley pada peringkat akhir kejohanan Euro 2020.

"Perkara penting di sini ialah, kami di UK telah membina tembok kekebalan yang sangat kukuh terhadap penyakit ini, melalui program vaksinasi kami," kata Johnson setelah Merkel menyuarakan kebimbangan dan rasa skeptikal berhubung kehadiran begitu ramai penonton ketika perlawanan bola sepak.

Kunjungan Merkel dilihat di London sebagai peluang untuk menjalin hubungan diplomatik dengan rakan dagang kedua terbesarnya.

Jalinan kedua-dua negara sedikit keruh disebabkan keputusan Britain keluar daripada Kesatuan Eropah beberapa tahun lalu.