MOSCOW: Kumpulan pertama tentera di bawah Pasukan Penstabilan Antarabangsa (ISF) dijangka ditempatkan di Semenanjung Gaza pada awal April, menurut portal berita Asharq Al-awsat yang memetik Bishara Bahbah, perantara Amerika Syarikat (AS) dalam rundingan dengan Hamas, lapor Sputnik/RIA Novosti.
“Setakat yang saya tahu, kumpulan pertama tentera sebagai sebahagian daripada pasukan ini akan memasuki Gaza pada awal April, dan kontinjen lebih besar akan ditempatkan pada bulan berikutnya,” kata Bahbah pada Khamis.
Advertisement
Beliau juga menyatakan harapan bahawa dengan penempatan kontinjen antarabangsa di Gaza, pelanggaran gencatan senjata oleh Israel akan berakhir.
Tambahnya, Jawatankuasa Nasional bagi Pentadbiran Gaza yang baru ditubuhkan, juga akan dapat memasuki enklaf itu selepas pasukan penstabil tiba, memandangkan ia akan menerima jaminan keselamatan yang diperlukan.
Menurut Bahbah, tentera Indonesia akan ditempatkan terutamanya di selatan enklaf, manakala unit dari negara lain akan bertanggungjawab ke atas kawasan lain di Gaza.
Pasukan Penstabilan Antarabangsa dijangka terdiri daripada kira-kira 20,000 anggota tentera dan 12,000 pegawai polis dari negara yang menyertai Lembaga Keamanan Gaza.
Bandar Rafah di selatan Semenanjung Gaza mungkin menjadi kawasan penempatan awal misi tersebut.
-- BERNAMA-SPUTNIK/RIA NOVOSTI