KUALA LUMPUR:Agensi perisikan India dipercayai memintas transaksi kewangan kumpulan etnik Rohingya didakwa berpangkalan di Malaysia yang merancang untuk melancarkan serangan keganasan terhadap negara itu, lapor The Times of India (TOI).

Portal berita yang memetik maklumat daripada dokumen perisikan itu, menyatakan rancangan berkenaan kini sudah berada di peringkat akhir.

Ia turut melaporkan, transaksi melibatkan lebih RM820,000 itu dijejak ke seorang pemimpin Rohingya yang berpangkalan di Kuala Lumpur yang dipercayai mempunyai kaitan dengan pendakwah Dr Zakir Naik.

Zakir yang diberikan status pemastautin tetap di Malaysia pada tahun 2012 sebelum ini dilaporkan pernah memohon untuk mendapatkan status warganegara.

Beliau juga dikehendaki oleh pihak berkuasa India sejak 2016 atas tuduhan pengubahan wang haram dan menggalakkan ekstremisme melalui ucapan beliau.

BACA: M'sia terima permohonan ekstradisi Zakir Naik

Portal itu turut memetik sumber perisikan yang mendakwa mereka sedang menyiasat sama ada sebuah kumpulan militan Rohingya, yang mendapat perhatian tahun lalu kerana mengutip dana untuk pelarian Rohingya di Malaysia, terlibat dalam transaksi itu.

Astro AWANI telah menghubungi Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berhubung laporan itu dan sedang menunggu maklum balas beliau.

BACA: Zakir Naik tiada dalam senarai orang dikehendaki, pengganas - KDN

Kumpulan terbabit yang diketuai seorang wanita yang dilatih di Myanmar didakwa merancang melancarkan serangan di sebuah bandar di India beberapa minggu akan datang.

Laporan tersebut mendakwa, pihak perisikan memberi amaran kepada kepada polis dan Biro Perisikan Negeri di Delhi, Haryana, Uttar Pradesh, Bihar dan Bengal Barat supaya meningkatkan pengawasan di kawasan yang menjadi sasaran pada Jumaat.

Ia juga mendakwa, seorang suspek yang berpangkalan di Chennai dipercayai bertindak sebagai orang tengah yang menerima sebahagian daripada wang berkenaan menggunakan sistem 'hawala'.

Hawala adalah sistem penghantaran wang melalui kaedah 'bawah tanah' iaitu tanpa melalui rangkaian sistem perbankan atau syarikat kewangan rasmi

Polis percaya kumpulan terbabit bercadang untuk menyusup ke India pada pertengahan atau akhir Disember menerusi Bangladesh.