INTERNATIONAL
Kyiv, Moscow saling tuduh satu sama lain langgar gencatan senjata

Presiden Zelenskyy (kanan) menuduh Putin dan Rusia hanya berpura-pura mematuhi gencatan, sebaliknya, meneruskan ratusan serangan artileri pada malam Sabtu dan keesokan harinya.
MOSCOW/KYIV: Rusia dan Ukraine saling menyalahkan antara satu sama lain pada Ahad berhubung pelanggaran gencatan senjata sempena Easter yang diumumkan selama sehari oleh Presiden Vladimir Putin, dengan kedua-dua pihak mendakwa ratusan serangan dilakukan dan Kremlin memaklumkan, tiada arahan untuk lanjutan gencatan itu.
Putin yang melancarkan pencerobohan ke atas Ukraine sejak Februari 2022, telah mengarahkan tenteranya menghentikan segala aktiviti ketenteraan di sepanjang garis hadapan dalam peperangan yang kini memasuki tahun ketiga, sehingga tengah malam waktu Moscow, pada Ahad.
Bagaimanapun, lima jam sebelum tempoh tamat, agensi berita TASS memetik jurucakap Kremlin, Dmitry Peskov sebagai berkata, tiada arahan tambahan dikeluarkan untuk melanjutkan gencatan tersebut.
“Tiada arahan lain,” katanya apabila ditanya mengenai kemungkinan lanjutan.Sementara itu di Washington, Jabatan Negara Amerika Syarikat menyatakan kesediaan untuk menyambut baik sebarang lanjutan gencatan senjata tersebut.
Menteri Luar Ukraine, Andrii Sybiha menegaskan, tindakan Rusia dalam tempoh beberapa hari mendatang akan “menunjukkan pendirian sebenar Moscow terhadap usaha damai Amerika Syarikat serta cadangan gencatan senjata penuh selama 30 hari.”
Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskyy, pula menuduh Rusia hanya berpura-pura mematuhi gencatan, sebaliknya, meneruskan ratusan serangan artileri pada malam Sabtu dan keesokan harinya.
Menerusi ciapan di platform X, Zelenskyy berkata, Rusia melancarkan 67 serangan dari tengah malam hingga 8 malam waktu tempatan.
“Sama ada Putin tidak mempunyai kawalan penuh ke atas tenteranya atau situasi ini membuktikan bahawa Rusia langsung tidak berniat untuk menamatkan peperangan, sebaliknya, hanya mahukan publisiti positif,” katanya.
Namun, beliau mengakui, tiada amaran serangan udara dikeluarkan pada hari tersebut dan menyifatkan ini sebagai satu bentuk gencatan yang boleh diperluaskan.
Zelenskyy mencadangkan agar Rusia menghentikan serangan dron dan peluru berpandu ke atas sasaran
awam untuk sekurang-kurangnya 30 hari.
“Jika Rusia enggan bersetuju, maka jelaslah mereka hanya mahu meneruskan tindakan yang memusnahkan nyawa dan melanjutkan peperangan,” tambahnya.
Rusia dakwa Ukraine langgar gencatan lebih 1,000 kali
Dalam perkembangan sama, Kementerian Pertahanan Rusia mendakwa, Ukraine telah melanggar gencatan senjata lebih 1,000 kali, menyebabkan kematian dan kerosakan kepada infrastruktur awam.
Menurut kementerian itu, tentera Ukraine telah melepaskan tembakan ke arah kedudukan Rusia sebanyak 444 kali, selain melancarkan lebih 900 serangan dron, termasuk ke atas Crimea serta wilayah Bryansk, Kursk dan Belgorod di sempadan Rusia.
“Akibatnya, terdapat kematian dan kecederaan dalam kalangan orang awam serta kerosakan kepada kemudahan awam,” katanya dalam kenyataan.
Bagaimanapun, pihak tentera Ukraine melaporkan, aktiviti di barisan hadapan menunjukkan penurunan pada Ahad, satu dapatan yang turut dikongsi oleh beberapa penulis blog tentera Rusia.
Reuters tidak dapat mengesahkan secara bebas laporan medan pertempuran dari kedua-dua pihak.
Usaha gencatan Trump diuji
Kegagalan mematuhi gencatan walaupun untuk sehari menunjukkan betapa sukarnya usaha Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump untuk mencapai perjanjian damai yang berkekalan.
Trump dan Setiausaha Negaranya, Marco Rubio, pada Jumaat lalu memberi amaran bahawa AS akan menarik diri daripada rundingan damai sekiranya tiada perkembangan positif dalam masa terdekat.
Trump yang ingin dikenang sebagai pendamai, sebelum ini berkali-kali memberi amaran tentang risiko peningkatan konflik yang kini digambarkan pentadbirannya sebagai satu bentuk peperangan proksi antara AS dan Rusia - satu naratif yang turut dipegang oleh Moscow.
Bulan lalu, selepas Ukraine menerima cadangan Trump untuk gencatan selama 30 hari, Putin menolak dengan alasan tiada mekanisme pengesahan yang jelas dipersetujui.
Kedua-dua pihak sebelum ini bersetuju untuk tidak menyerang kemudahan tenaga dan sasaran di laut, namun terus saling menuduh melanggar persetujuan tersebut.
Zelenskyy menegaskan, Ukraine bersedia untuk melanjutkan gencatan selama 30 hari, tetapi jika Rusia terus menyerang, tentera Ukraine akan membalas dengan tindakan yang setara.
“Angkatan tentera Ukraine sedang bertindak – dan akan terus bertindak – secara simetri,” katanya di X.
Tentera Ukraine turut menyuarakan keraguan terhadap dakwaan gencatan senjata.
“Penembakan masih berlaku – kita boleh lihat di berita – contohnya di Kherson. Serangan dan tembakan masih diteruskan di barisan hadapan. Tiada petunjuk adanya gencatan,” kata Dmytro, 24, dari briged mekanik Kholodnyi Yar ke-93.
“Bagi saya, gencatan senjata ini cuma helah propaganda. Mereka mahu dunia lihat kononnya mereka membuat konsesi, tetapi di medan perang, tiada perubahan. Saya anggap ia satu pembohongan besar seperti biasa,” ujar Serhii, 22, dari briged yang sama.
Putin sebelum ini turut memaklumkan kepada Ketua Turus Tentera Rusia, Valery Gerasimov, supaya bersedia memberi respons penuh sekiranya Ukraine melanggar gencatan tersebut.
Putin mengumumkan gencatan sebelum menghadiri sambutan Easter Ortodoks, dengan menyatakan bahawa ia akan menjadi ukuran kepada kesediaan Ukraine untuk mencapai perdamaian.
Kesatuan Eropah pula menyatakan, Rusia boleh menamatkan peperangan serta-merta sekiranya benar-benar mahu.
Jurucakap Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Stephane Dujarric menegaskan, sokongan badan dunia itu terhadap “usaha bermakna ke arah perdamaian yang adil, berkekalan dan menyeluruh yang menghormati sepenuhnya kedaulatan, kemerdekaan dan integriti wilayah Ukraine.”
Tahun ini, sambutan Easter Ortodoks dan Barat jatuh pada hari yang sama dan dalam mesej khas di media sosial, Zelenskyy menyeru rakyat Ukraine agar terus menaruh harapan bahawa keamanan akan kembali satu hari nanti.
“Kita tahu apa yang sedang kita pertahankan. Kita tahu apa yang sedang kita perjuangkan,” katanya sambil memakai baju sulaman tradisional Ukraine dengan latar belakang Katedral Saint Sophia di Kyiv. - Agensi
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami