Ringgit dibuka mengukuh berbanding dolar AS

Ringgit dibuka lebih kukuh berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Selasa, disokong oleh kelemahan menyeluruh mata wang itu susulan kebimbangan terhadap pengurangan permintaan terhadap aset AS. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Ringgit dibuka lebih kukuh berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Selasa, disokong oleh kelemahan menyeluruh mata wang itu susulan kebimbangan terhadap pengurangan permintaan terhadap aset AS.
Pada 8 pagi, ringgit mengukuh kepada 3.9250/9340 berbanding dolar AS daripada paras penutupan 3.9325/9375 pada Isnin.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, dolar AS menyusut susulan laporan bahawa pihak berkuasa China menasihatkan institusi kewangan domestiknya mengurangkan pegangan bon Perbendaharaan AS.
"Keadaan ini menyebabkan dolar AS menjadi lebih lemah, dengan Indeks Dolar AS (DXY) susut 0.79 peratus kepada 96.865 mata," katanya kepada Bernama.
Mohd Afzanizam berkata rasional utama langkah tersebut adalah kebimbangan terhadap penumpuan risiko serta peningkatan ketidaktentuan pasaran.
Beliau berkata, berdasarkan data terkini, pegangan China dalam bon Perbendaharaan AS berjumlah US$682.6 bilion setakat November 2025, jauh lebih rendah berbanding paras tertinggi US$1.3 trilion yang direkodkan pada Julai 2011.
"Semalam, ringgit ditutup lebih tinggi berbanding dolar AS. Sehubungan itu, ringgit dijangka kekal kukuh sekitar RM3.92 hingga RM3.94 berikutan kelemahan dolar AS," katanya.
Ringgit, bagaimanapun, diniagakan rendah berbanding kumpulan mata wang utama.
Mata wang tempatan itu menyusut berbanding pound British kepada 5.3698/3821 daripada 5.3482/3550, merosot berbanding euro kepada 4.6723/6830 daripada 4.6647/6707 sebelum ini, dan melemah berbanding yen Jepun kepada 2.5138/5197 daripada 2.5104/5137 ketika ditutup pada Isnin.
Bagaimanapun, prestasi ringgit kebanyakannya lebih tinggi berbanding mata wang ASEAN, kecuali susut berbanding dolar Singapura kepada 3.1001/1077 daripada 3.0979/1021 sebelum ini.
Ringgit meningkat berbanding peso Filipina kepada 6.71/6.73 daripada 6.72/6.74 semalam, mengukuh berbanding rupiah Indonesia kepada 233.5/234.2 daripada 234.0/234.4, dan naik berbanding baht Thailand kepada 12.5813/6207 daripada 12.5876/6101.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


