NEW DELHI: Lahore di Pakistan melonjak lebih 10 anak tangga untuk menjadi bandar dengan kualiti udara terburuk di dunia pada 2022.

Dapatan itu berdasarkan tinjauan global tahunan oleh pembuat penapis udara Switzerland, IQAir.

Sementara itu, laporan itu menyebut negara di Afrika Tengah, Chad menggantikan Bangladesh sebagai negara dengan udara paling tercemar tahun lalu.

IQAir mengukur tahap kualiti udara berdasarkan kepekatan zarah bawaan udara yang merosakkan paru-paru yang dikenali sebagai PM2.5.

Tinjauan tahunannya dipetik secara meluas oleh penyelidik dan organisasi kerajaan.

Kualiti udara Lahore bertambah buruk kepada 97.4 mikrogram zarah PM2.5 setiap meter padu daripada 86.5 pada 2021 sekali gus menjadikannya bandar paling tercemar di seluruh dunia.

Hotan, satu-satunya bandar China dalam 20 teratas mengikuti Lahore dengan tahap PM2.5 sebanyak 94.3 iaitu peningkatan daripada 101.5 pada 2021.

Dua bandar seterusnya dalam kedudukan itu ialah Bhiwadi yang mempunyai tahap pencemaran pada 92.7 dan Delhi, dua-duanya di India, di belakang pada 92.6.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengesyorkan kepekatan maksimum PM2.5 sebanyak 5 mikrogram setiap meter padu.

Walaupun Chad mempunyai tahap purata 89.7, Iraq mempunyai kualiti udara kedua paling tercemar untuk sebuah negara pada purata 80.1.

Pakistan yang mempunyai dua daripada lima bandar dengan kualiti udara terburuk pada 2022, menduduki tempat ketiga dalam kedudukan seluruh negara pada 70.9, diikuti Bahrain pada 66.6.

Kualiti udara Bangladesh bertambah baik dari 2021, apabila ia ditandakan sebagai negara dengan udara paling teruk sebelum ini dan berada di kedudukan kelima dalam laporan terkini dengan tahap PM2.5 turun kepada 65.8 daripada 76.9.

India mempunyai beberapa bandar paling tercemar di dunia, tetapi menduduki tempat kelapan dalam laporan terkini, dengan tahap PM2.5 pada 53.3.

Laporan itu berkata, India dan Pakistan mengalami kualiti udara paling teruk di rantau Asia Tengah dan selatan di mana hampir 60 peratus penduduk tinggal di kawasan kepekatan zarah PM2.5 sekurang-kurangnya tujuh kali lebih tinggi daripada paras yang disyorkan WHO.

Ia berkata, satu daripada 10 orang di seluruh dunia tinggal di kawasan di mana pencemaran udara menimbulkan ancaman kepada kesihatan.

Wilayah Pasifik Amerika Syarikat, Guam mempunyai udara yang lebih bersih daripada mana-mana negara dengan kepekatan PM2.5 sebanyak 1.3 manakala Canberra mempunyai udara paling bersih untuk ibu kota dengan 2.8.

Indeks itu disediakan menggunakan data daripada l.ebih 30,000 pemantau kualiti udara di lebih 7,300 lokasi di 131 negara, wilayah dan negara.