Deaflympics dibuka di Tokyo, Jepun jadi tuan rumah buat kali pertama

Seramai 3,081 atlet dari 81 negara dan wilayah, termasuk satu pasukan pelarian dan satu pasukan neutral bertanding di bawah bendera Deaflympics.
TOKYO: Deaflympics secara rasmi bermula pada Sabtu di Tokyo, menandakan pertama kali Jepun menjadi tuan rumah acara sukan antarabangsa untuk individu pekak atau kurang pendengaran, lapor Kyodo News.
Ringkasan AI
- Deaflympics bermula secara rasmi di Tokyo, menjadi acara sukan antarabangsa pertama untuk individu pekak atau kurang pendengaran yang dihoskan oleh Jepun.
- Seramai 3,081 atlet dari 81 negara dan wilayah telah disahkan menyertai acara ini, dengan majlis pembukaan diadakan di Gimnasium Metropolitan Tokyo yang turut dihadiri oleh Putera Mahkota Fumihito dan keluarga.
- Temasya tersebut bertujuan meningkatkan pemahaman terhadap komuniti pekak, bahasa isyarat, dan masyarakat yang lebih inklusif, sambil menjadi acara sukan pelbagai disiplin utama pertama yang dihoskan oleh Jepun sejak Sukan Olimpik dan Paralimpik Tokyo 2021.
Turut hadir Putera Mahkota Fumihito, adik lelaki Maharaja Naruhito, bersama Puteri Mahkota Kiko dan dua anak mereka, Puteri Kako dan Putera Hisahito, yang merupakan pewaris kedua takhta.
"Saya berharap Deaflympics Tokyo akan mencipta kenangan bermakna untuk ramai orang dan mengukuhkan lagi minat terhadap sukan pekak," titah putera mahkota dalam ucapannya.
Perdana Menteri Jepun, Sanae Takaichi, dan Gabenor Tokyo, Yuriko Koike turut hadir, manakala Presiden Jawatankuasa Sukan Antarabangsa untuk Orang Pekak, Adam Kosa, mengisytiharkan temasya itu dibuka.
Tahun ini menandakan 101 tahun sejak Deaflympics pertama diadakan di Paris pada 1924, dengan harapan temasya ini akan meningkatkan pemahaman terhadap komuniti pekak dan bahasa isyarat serta mendorong kepada masyarakat yang lebih inklusif.
Ini adalah kali pertama Jepun menjadi tuan rumah acara sukan pelbagai disiplin antarabangsa utama sejak Sukan Olimpik dan Paralimpik Tokyo 2021.
Temasya yang berlangsung sehingga 26 Nov itu menampilkan 21 jenis sukan dan 209 acara.
Syarat utama penyertaan ialah kehilangan pendengaran yang bersamaan dengan ketidakupayaan mendengar pertuturan pada 55 desibel. Alat bantuan pendengaran dilarang digunakan sepanjang acara bagi memastikan keadilan.
Kontinjen Jepun 2025 adalah yang terbesar setakat ini, dengan kira-kira 270 atlet. Negara tuan rumah itu menyasarkan untuk mengatasi rekod penyertaan 2022 di Caxias do Sul, Brazil, dengan memenangi lebih 31 pingat.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


