AS lancar serangan besar-besaran terhadap Daesh di Syria sebagai tindakan balas

Serangan itu, dikenali sebagai "Operasi Hawkeye Strike", menyasarkan infrastruktur, senjata, dan pejuang Daesh di wilayah tengah Syria. - Foto X/destiny
WASHINGTON: Tentera Amerika Syarikat (AS) telah melancarkan serangan udara berskala besar ke atas sasaran militan Daesh di Syria pada Jumaat, sebagai tindak balas terhadap serangan maut yang mengorbankan tiga rakyat AS di Palmyra minggu lalu, menurut kenyataan rasmi Pentagon.
Ringkasan AI
- Tentera Amerika Syarikat (AS) melancarkan serangan udara besar terhadap sasaran militan Daesh di Syria sebagai tindak balas terhadap kematian tiga rakyat AS di Palmyra minggu lalu.
- Serangan itu, dikenali sebagai "Operasi Hawkeye Strike", menyasarkan infrastruktur, senjata, dan pejuang Daesh di wilayah tengah Syria.
- Presiden Donald Trump bersikeras untuk bertindak tegas menangani kejadian ini sebagai balasan terhadap serangan yang disifatkan sebagai kejam terhadap rakyat dan kedaulatan AS.
“Ini bukan permulaan perang, ini adalah pengisytiharan balas dendam,” kata Setiausaha Pertahanan AS, Pete Hegseth.
“Jika anda menyasarkan rakyat AS, di mana-mana sahaja di dunia, anda akan diburu, ditemui dan dihapuskan tanpa belas kasihan.”
Presiden Donald Trump sebelum ini berikrar akan bertindak balas secara tegas terhadap serangan tersebut, menyifatkannya sebagai “serangan kejam terhadap rakyat dan kedaulatan AS”.
Menurut pegawai pertahanan yang enggan dinamakan, serangan udara itu melibatkan puluhan sasaran dan merupakan antara operasi terbesar sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Jet pejuang F-15E Strike Eagle dilaporkan digunakan dalam misi tersebut.
Kementerian Pertahanan AS menegaskan bahawa tindakan ini adalah sebahagian daripada kempen berterusan untuk mengekang kebangkitan semula Daesh di rantau tersebut.
Walaupun kumpulan itu telah kehilangan sebahagian besar wilayahnya sejak 2019, sel-sel militan masih aktif dan terus melancarkan serangan terhadap pasukan gabungan dan penduduk tempatan.
Setakat ini, tiada laporan rasmi mengenai jumlah korban di pihak Daesh, namun Pentagon menyatakan bahawa serangan itu “berjaya mencapai objektif taktikal”.
Serangan ini dijangka meningkatkan lagi ketegangan di Syria, yang telah lama menjadi medan konflik pelbagai kuasa serantau dan antarabangsa.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


