Berlaku insiden di luar jangkaan di tengah Hong Kong di mana langkah penunjuk perasaan untuk bersurai dari Jalan Lung Wo yang berhampiran dengan pejabat pentadbiran kerajaan China hanya bersifat sementara.

Langkah itu diambil selepas seorang penunjuk perasaan, Joe Yeong berjabat tangan dengan seorang wakil polis.

Namun begitu, wartawan South China Morning Post (SCMP) menganggarkan ratusan penunjuk perasaan yang agresif sudah pun menduduki semula jalan itu.

Joe, yang dahulunya seorang pegawai polis bantuan telah menyertai protes itu selama beberapa hari.

Rakan Joe, Yuen Chi-Kui berkata sejak permulaan kempen Scholarism lewat bulan lepas, Joe telah mengambil keputusan untuk berhenti menjadi polis.

Terdahulu, satu tempoh telah diberikan kepada penunjuk perasaan pro demokrasi Hong Kong untuk bersurai pagi tadi selepas pertempuran semalaman berlaku antara polis rusuhan dan pihak demonstrasi.

Pihak berkuasa kerajaan Beijing mendakwa jika keadaan ini diteruskan ia akan mengancam keselamatan orang awam.

Ketua Eksekutif Pentadbiran Hong Kong Leung Chun-Ying berkata kerajaan bertekad untuk mengambil segala tindakan yang diperlukan bagi memulihkan semula keadaan dan membolehkan penduduk untuk kembali bekerja seperti biasa.

“Kita perlu memastikan agar premis-premis kerajaan dapat beroperasi dengan lancar.

“Tugas yang paling sukar untuk kerajaan adalah untuk membuka semula akses CGO (Pejabat Kerajaan Pusat) pada hari Isnin supaya 3,000 kakitangan CGO boleh kembali ke tempat kerja dan terus berkhidmat kepada orang ramai," tambah Leung.

Protes pro demokrasi Hong Kong yang diadakan sejak seminggu lalu menuntut hak mengundi pilihan raya ketua eksekutif pada tahun 2017.

Kerajaan China walaubagaimanapun menegaskan hanya calon yang telah dipra-luluskan boleh bertanding dan mengutuk segala tindakan keganasan protes ini.

Pagi tadi, kelihatan orang ramai mula bersurai secara beransur-ansur namun tidak dapat dikenali pasti sama ada ia adalah kerana mereka mengendah arahan daripada Leung ataupun semata-mata untuk berehat di rumah.

Protes ini mengakibatkan pelbagai pertempuran yang berlaku terutamanya di bandar Kowloon, Mongkok.

Aktivis mendakwa ahli-ahli kongsi gelap di bandar ini dibayar untuk bekerjasama dengan pihak berkuasa untuk menyerang penunjuk perasaan.

Kejadian bertambah huru-hara apabila polis rusuhan mula menggunakan baton dan semburan lada ketika bertempur dengan penunjuk perasaan.

Pihak pentadbiran universiti dan sekolah telah memberi kebenaran kepada pelajar untuk pulang ke rumah sebagai langkah berjaga-jaga.

Sebelum ini pemimpin kesatuan pelajar yang terlibat dengan protes ini bersetuju untuk berbincang dengan pihak pentadbiran Leung.

Namun perbincangan itu dibatalkan berikutan kemarahan mereka terhadap pihak polis yang gagal melindungi mereka ketika di Mongkok.

Pelajar-pelajar itu berkata mereka akan masih terbuka untuk berdialog jika syarat-syarat tertentu dipenuhi.

Protes ini telah menarik ramai penyokong di jalanan namun kempen bantahan itu juga telah menyebabkan peniaga-peniaga tempatan mengalami gangguan yang besar.

Satu perhimpunan kecil reben biru telah diadakan oleh orang ramai sebagai tanda sokongan kepada pihak polis dan kerajaan.