MILAN: Lapan individu cedera, termasuk empat dalam keadaan serius, selepas seorang pemandu yang mempunyai sejarah masalah kesihatan mental merempuh beberapa pejalan kaki di bandar Modena, utara Itali, pada Sabtu (16 Mei), menurut pihak berkuasa.
Rakaman kamera keselamatan yang disiarkan media tempatan menunjukkan sebuah kenderaan dipandu laju memasuki jalan di pusat bandar yang sesak dengan pejalan kaki dan penunggang basikal.
Pemandu berkenaan, seorang lelaki warga Itali berketurunan Maghribi, dilaporkan melanggar beberapa individu sebelum merempuh cermin sebuah kedai, termasuk melanggar seorang wanita secara berdepan, kata ketua pentadbiran bandar, Fabrizia Triolo dalam sidang media.
Suspek cuba melarikan diri dari lokasi kejadian, namun berjaya dikejar dan ditahan oleh empat orang awam.
Dalam kejadian itu, suspek turut mengeluarkan pisau dan mencederakan salah seorang daripada mereka.
Kesemua mangsa, termasuk seorang warga Jerman dan Poland, dikejarkan ke hospital, dengan empat daripadanya dilaporkan berada dalam keadaan serius.
Seorang mangsa terpaksa menjalani pembedahan amputasi kedua-dua kaki.
Menurut Triolo, suspek yang dilahirkan pada 1995 dan merupakan lulusan ekonomi, tidak mempunyai sebarang rekod jenayah, namun pernah mengalami gangguan psikologi pada tahun 2022.
Beliau berkata, suspek sebelum ini menerima rawatan di pusat kesihatan mental bagi gangguan jenis schizoid, tetapi tidak lagi dapat dikesan selepas tempoh awal pemantauan di fasiliti rawatan.
Tambahnya, siasatan awal mendapati suspek tidak berada di bawah pengaruh bahan psikotropik ketika kejadian.
Kediaman suspek berhampiran Modena turut diserbu pihak berkuasa bagi membantu siasatan.
Orang awam bertindak pantas
Ketua wilayah Emilia-Romagna, Michele de Pascale menyifatkan insiden itu sebagai “tindakan yang amat serius” namun menegaskan penting untuk memahami motif sebenar kejadian.
“Ini adalah perbuatan yang sangat serius, namun kita perlu meneliti latar belakang dan puncanya. Kita tunggu maklumat lanjut,” katanya.
Perdana Menteri Itali, Giorgia Meloni, turut menyifatkan insiden tersebut sebagai “amat membimbangkan.”
Beliau pada masa sama merakamkan penghargaan kepada orang awam yang berani membantu menahan suspek, selain memuji tindakan pantas pasukan penguat kuasa.
Sementara itu, salah seorang individu yang membantu menahan suspek, Luca Signorelli berkata, beliau melihat sendiri detik cemas kejadian.
“Saya terdengar dentuman dan melihat orang dilanggar. Kereta itu menuju ke arah saya dan saya sempat menyelamatkan diri dengan menjatuhkan badan ke tanah,” katanya kepada saluran televisyen tempatan.
Menurutnya, selepas kenderaan itu berhenti dengan asap keluar dari enjin, dia membuka pintu kenderaan itu sebelum suspek melarikan diri.
“Empat atau lima orang daripada kami mengejarnya... suspek kemudian mengeluarkan pisau, memukul kepala saya dan cuba menikam dada saya, tetapi saya berjaya mengelaknya,” katanya.
Datuk Bandar Modena, Massimo Mezzetti, turut menzahirkan penghargaan kepada orang awam yang menunjukkan keberanian dan tanggungjawab sivik.
“Kita perlu fahami apa yang menjadi punca kejadian ini, namun jelas ia adalah insiden yang dramatik. Saya amat terkesan dengan kejadian ini,” katanya. - Agensi